PETALING JAYA : Aktiviti sukan padang dijangka diberi kelonggaran dalam tempoh terdekat.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memberi bayangan untuk membuka sektor berkenaan menerusi ciapan Twitternya hari ini.
“Permintaan @PejaofPerak (Ahmad Faizal) untuk ‘outdoor team sports’ adalah wajar. Menteri KBS (Kementerian Belia dan Sukan) memang prihatin terhadap sektor sukan.
“Tadi dibincang dan diputuskan di sidang MKN COVID-19. Berita yang baik akan diumumkan,” katanya.
Dalam responnya terhadap cadangan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menerusi ciapan di Twitter, beliau berkata, perkara berkenaan sudah dibincang dan diputuskan dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Ahmad Faizal sebelum itu mengesyorkan pembukaan semula sukan padang dan gimnasium selepas kelonggaran diberikan kepada industri kreatif berkuat kuasa, esok.
Katanya, cadangan itu juga perlu diberi pertimbangan sewajarnya oleh Khariy dengan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat demi menyelamatkan industri berkenaan yang semakin ‘tenat’. – UTUSAN ONLINE