Akta Penagih Dadah 1983 bakal dipinda bagi lonjak indeks kepulihan - Utusan Malaysia

Akta Penagih Dadah 1983 bakal dipinda bagi lonjak indeks kepulihan

HAMZAH Zainudin ketika berucap merasmikan Simposium Jawatankuasa Pemulihan Dadah Daerah dan Hari Kepulihan AADK Peringkat Kebangsaan 2021 secara maya hari ini. – IHSAN AADK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri sedia menggantikan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 yang dianggap agak lama serta perlu disesuaikan situasi semasa.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, ia bakal digantikan undang-undang baharu dikenali Akta Penyalahgunaan Dadah dan Substan (Pencegahan, Rawatan dan Pemulihan).

Beliau berkata,  kementerian tersebut dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) sudah pun menyediakan draf rang undang-undang tersebut untuk dibentangkan di Parlimen dalam masa terdekat.

“Sebelum bentang, kita akan memperuntukan waktu yang cukup untuk diadakan sesi libat urus bagi dapat maklum balas lebih menyeluruh daripada semua pemegang taruh,” katanya sebelum merasmikan Simposium Jawatankuasa Pemulihan Dadah Daerah dan Hari Kepulihan AADK Peringkat Kebangsaan Tahun 2021 secara maya hari ini.

Yang hadir sama  Ketua Setiausaha kementerian tersebut, Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Pengarah AADK, Sutekno Ahmad Belon serta 1,500 peserta dari seluruh negara.

Cadangan penggantian akta sedia ada itu pernah dibangkitkan di Parlimen pada tahun lalu dalam usaha mengurangkan kadar kesesakan teruk banduan kesalahan dadah dalam penjara, sebaliknya, tahanan kes penagihan dihantar terus ke pusat pemulihan AADK bagi tujuan rawatan lebih berkesan berbanding kaedah berbentuk hukuman diamalkan selama ini.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata,  pertubuhan bukan kerajaan boleh memberi pandangan kerana akta baharu akan dipastikan merangkumi aspek perundangan lebih komprehensif dan perlu tersusun bagi membolehkan lebih ramai penagih dan penyalah guna dadah atau substan dapat menerima proses rawatan serta pemulihan sewajarnya.

Malah ujarnya, pendekatan baharu itu membuktikan kejayaan kerana seramai 47,863 klien menerima rawatan di pusat AADK seluruh Malaysia sepanjang tahun ini hingga 31 Ogos lalu sekali gus menunjukkan perkhidmatan pemulihan tidak terjejas ketika wabak Covid-19, bahkan penggunaan teknologi dipertingkat bagi memastikan klien menerima akses rawatan.

Justeru, beliau percaya, perkongsian ilmu melalui simposium dua hari itu mampu melonjak keupayaan kemahiran bagi mengekalkan indeks kepulihan klien melepasi 70 peratus setahun.

Hamzah berkata, kementerian  memohon peruntukan khusus yang berjumlah RM10 juta dalam Belanjawan 2022 bagi merancakkan lagi aktiviti rawatan di negara ini, selain inisiatif baharu diperkenal tahun ini bagi membuktikan kepulihan tidak mustahil dicapai dengan mengenengahkan 30 bekas peserta sebagai mentor ‘role model’.

Pendekatan ini jelasnya, bakal memberi kesedaran dan motivasi kepada klien masalah dadah untuk hadir menerima rawatan secara sukarela di fasiliti AADK yang disediakan oleh kerajaan.- UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya