Ahmad Zahid tak pernah janjikan projek MyEG kepada ahli perniagaan

Ahmad Zahid tak pernah janjikan projek MyEG kepada ahli perniagaan – Peguam

AHMAD Zahid Hamidi tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini bagi menyambung tuduhan rasuah. - FOTO/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pihak pembelaan berhujah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tidak pernah menjanjikan projek MyEG kepada seorang ahli perniagaan, sebaliknya ia dijanjikan oleh adiknya, Datuk Seri Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi.

Peguam Hisyam Teh Poh Teik berhujah, ahli peniagaan itu, Junaith Asharab Md. Shariff ketika memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan ke-36 bersetuju, Mohamad Nasaee berjanji demikian dan beliau hadir dalam setiap pertemuannya dengan bekas Timbalan Perdana Menteri.

Hujah Hisyam, dalam pertemuan pertama dengan Ahmad Zahid, saksi itu memaklumkan kesediaannya menderma bagi pembinaan masjid dan pusat tahfiz di Bagan Datuk, Perak.

Oleh itu, pembelaan berhujah, wang RM13 juta melibatkan pengeluaran 23 keping cek daripada akaun dua buah syarikat, bukan pemberian rasuah sebaliknya sumbangan bagi pembinaan masjid dan tahfiz di situ.

Hujah Hisyam, cek-cek bernilai RM8 juta dan RM5 juta itu masing-masing daripada Mastoro Kenny IT Consultant & Services serta syarikat Berani dan Jujur Trading.

Sehubungan itu, pembelaan menghujahkan, wang berjumlah RM13 juta seperti yang dinyatakan dalam pertuduhan, tiada kena mengena dengan projek MyEG kerana itu adalah sumbangan untuk tujuan kebajikan.

Ujar Hisyam, Junaith dalam keterangannya turut bersetuju bahawa syarikat Berani dan Jujur Trading yang dimilikinya tiada kepakaran dan kebolehan melaksanakan projek MyEG.

Selain itu, pembelaan menghujahan, keterangan Junaith disokong oleh kenyataan MyEG kepada Bursa Malaysia dan keterangan pegawai penyiasat yang membuktikan Ahmad Zahid tiada kaitan dengan MyEG.

Oleh itu, pembelaan menghujahkan pertuduhan ke-11, 12 dan 13 harus digugurkan kerana jelas bahawa Ahmad Zahid tidak menerima imbuhan daripada Junaith sebagai dorongan bagi membantu Mastoro Kenny IT Consultant & Services mendapatkan projek MyEG di bawah kendalian Kementerian Dalam Negeri.

Sementara itu dalam prosiding sama, peguam Hamidi Mohd. Noh berhujah, pertuduhan 14 dan 15 berkaitan rasuah adalah tidak jelas dan tidak spesifik.

Kedua-dua tuduhan itu berkaitan dakwaan Ahmad Zahid menerima wang berhubung proses pemberian projek kerajaan untuk bekalan cip pasport kepada Datasonic Technologies Sdn. Bhd pada 2016.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung Isnin.

Mahkamah mendengar penghujahan pembelaan pada akhir kes pendakwaan terhadap Ahmad Zahid yang menghadapi 47 pertuduhan iaitu 27 pertuduhan pengubahan wang haram, 12 pecah amanah dan lapan rasuah melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Presiden UMNO itu didakwa menggunakan dana tersebut untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia.

Kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan antara 13 Januari 2014 dan 11 Januari 2016.

Bagi lapan pertuduhan rasuah, Ahmad Zahid dituduh menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn. Bhd.

Suapan itu sebagai dorongan kepadanya atas kapasiti selaku Menteri Dalam Negeri pada ketika itu untuk membantu syarikat terbabit mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport serta menyediakan perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

Ahmad Zahid juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 2016 dan 2018.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dipenjarakan sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana lebih tinggi jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.