Ah Boy tidak guna kekerasan ketika kutip hutang mangsa

Ah Boy tak guna kekerasan kutip hutang

AH Boy (tengah) bersama dengan wanita yang ketakutan apabila diminta membayar hutang akibat dakwaan bapanya meminjam wang sebanyak RM50,000 pada sidang akhbar di Pejabat MCA Bahagian Pasir Gudang, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Wajah bengis, lengan bertatu dan bertubuh sasa menjadi pakej lengkap buat individu yang hanya mahu dikenali sebagai Ah Boy untuk menjalankan pekerjaan sebagai pengutip hutang berlesen.

Namun, Ah Boy yang sudah lima tahun berkecimpung dalam bidang itu memberitahu, dia menolak untuk menggunakan kekerasan dalam melakukan pekerjaannya iaitu mengutip hutang daripada mana-mana pihak.

Katanya, dia tidak menggunakan kaedah membaling cat atau membaling ‘molotov koktel’ ke kediaman mangsa, sebaliknya dia mengambil pendekatan menggunakan pembesar suara untuk meminta mangsa memulangkan wang yang dipinjam.

“Saya menyediakan perkhidmatan konsultan yang bertugas untuk mengutip hutang, bermakna mana-mana syarikat akan mengupah saya untuk mendapatkan wang mereka daripada individu yang berhutang.

“Tetapi saya mahu tegaskan saya tidak sesekali menggunakan kekerasan atau ugutan seperti yang banyak dilaporkan melibatkan sindiket ah long,” katanya kepada pemberita semasa sidang akhbar yang diadakan di Pejabat MCA Bahagian Pasir Gudang, di sini.

Ah Boy tampil membuat pengakuan itu selepas media melaporkan seorang jururawat mengalami trauma akibat diganggu sekumpulan lelaki yang mendakwa bapanya mempunyai hutang sebanyak RM50,000.

Ekoran laporan berkenaan, Timbalan Ketua Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA Malaysia, Chua Jian Boon menerima ugutan pihak tidak dikenali yang mengugut mahu membakar kediamannya.

Ah Boy bagaimanapun turut menafikan ugutan itu dibuat pihaknya sebaliknya dia hanya memberitahu mereka hanya menjalankan tugas mengutip hutang dan tidak membuat sebarang ugutan atau bertindak sesuka hati.

“Bagi membuktikan kami melakukan kerja mengutip hutang ini dengan betul, seorang pengutip hutang akan memakai kamera badan untuk merekod semua perkara yang berlaku.

“Rekod itu akan digunakan sebagai bukti sekiranya berlaku dakwaan mana-mana pihak yang kami melakukan salah laku,” ujarnya sambil memberitahu mereka turut patuh kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan ekoran pandemik Covid-19 ketika ini.

Jelasnya, setiap kereta hanyalah dinaiki dua individu sahaja dan mereka akan sentiasa memakai pelitup muka selain turut kerap menggunakan cecair pembasmi kuman ketika bekerja.

Sementara itu, Ah Boy bagaimanapun memberi nasihat kepada individu yang berhutang agar jangan berdiam diri di dalam rumah sebaliknya keluar bertemu mereka dan beritahu apa-apa yang perlu.

“Adalah lebih baik mereka menjawab panggilan kami daripada hanya terus mendiamkan diri, sekiranya individu yang berhutang tiada di kediaman tersebut boleh terus beritahu kami,” jelasnya yang mahu mengubah persepsi masyarakat terhadap kerjaya sebagai pengutip hutang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.