TEHERAN: Iran bersedia meneruskan perang dengan Amerika Syarikat (AS) dan Israel untuk tempoh yang lebih panjang, sekurang-kurangnya enam bulan.
Menteri Luar Iran, Abbas Aragchi menyatakan, Iran bertekad mempertahankan diri tanpa terikat dengan garis masa yang ditetapkan pihak musuh selepas perang Iran bermula sejak 28 Februari lalu.
“Iran akan meneruskan perang selama mana yang perlu,” katanya dalam temu bual bersama Al Jazeera di Teheran, sambil memberi amaran pasukannya berupaya melaksanakan operasi ketenteraan yang panjang.
Beliau turut menafikan dakwaan AS mengenai rundingan dan kononnya Iran menerima syarat Washington, dengan menyifatkan situasi itu sebagai tidak tepat.
RUNDINGAN
Aragchi berkata, rundingan dalam konteks hubungan antarabangsa merujuk kepada perbincangan rasmi antara dua negara bagi mencapai persetujuan, yang menurutnya tidak berlaku antara Iran dan AS ketika ini.
Katanya, komunikasi melalui pertukaran mesej secara langsung atau tidak langsung mungkin berlaku, namun ia tidak boleh dianggap sebagai rundingan.
Aragchi menyatakan, tiada rundingan rasmi berlaku setakat ini dan dakwaan sebaliknya adalah tidak tepat.
Beliau menambah, walaupun pertukaran mesej kadangkala termasuk amaran atau perkara dibangkitkan oleh satu pihak, ia tidak dianggap sebagai rundingan, walaupun proses komunikasi tersebut terus berjalan.
Ketika diminta menjelaskan mengenai pertukaran mesej secara langsung, beliau berkata, komunikasi itu dilakukan melalui pengantara, termasuk daripada Utusan Khas AS, Steve Witkoff yang terus menghantar mesej kepadanya. Namun, beliau menyatakan ia bukan rundingan, sebaliknya bentuk komunikasi yang berlaku dalam tempoh aman atau perang.
Apabila ditanya tentang dakwaan mungkin terdapat beberapa saluran atau kumpulan dalam Iran berhubung dengan Washington, Aragchi menolak perkara itu sepenuhnya.
Beliau menekankan, semua mesej dikendalikan melalui saluran rasmi Kementerian Luar atau dengan pengetahuannya. Walaupun perkhidmatan keselamatan mempunyai hubungan, semua pertukaran berlaku dalam kerangka Majlis Keselamatan Tertinggi Iran dengan pengurusan bersepadu.
SPEKULASI MEDIA
Mengenai dakwaan Iran memberi jawapan kepada cadangan 15 perkara daripada AS, Aragchi berkata, tiada respons diberikan terhadap rancangan sedemikian.
Beliau juga menafikan laporan Iran mengemukakan lima syarat, menyifatkannya sebagai spekulasi media dan menegaskan setakat ini tiada maklum balas diberikan terhadap cadangan AS.
Berhubung keadaan diplomasi, beliau berkata, tiada keputusan dibuat oleh Iran setakat ini dan banyak pertimbangan perlu diambil kira.
Menteri Luar itu berkata, syarat Teheran untuk menamatkan perang adalah jelas, menekankan tidak menerima gencatan senjata dan sebaliknya menuntut pengakhiran sepenuhnya perang, bukan sahaja di Iran tetapi di seluruh rantau, berserta jaminan untuk mencegah berulangnya konflik termasuk pampasan bagi kerosakan yang dialami rakyat Iran.
DAKWAAN PALSU TRUMP
Presiden AS, Donald Trump, sekali lagi mengeluarkan kenyataan mengelirukan apabila mendakwa rakan sejawatnya dari Iran, Masoud Pezeshkian mahu mencapai gencatan senjata dalam perang di rantau itu.
Bagaimanapun, dakwaan tersebut segera dinafikan oleh Teheran.
Trump sebelum ini kerap memutar belit kenyataan mendakwa rundingan antara AS dan Iran berjalan lancar, selain menuduh negara itu terdesak untuk mencapai perjanjian, meskipun Teheran menafikan terlibat dalam sebarang perbincangan.
SERANGAN
Sementara itu, serangan telah mengenai sebuah pusat perubatan berusia lebih satu abad di ibu negara Iran, menyebabkan kerosakan besar, menurut kementerian kesihatan negara tersebut pada Khamis.
“Pencerobohan terhadap Institut Pasteur Iran tonggak kesihatan global yang berusia lebih satu abad dan ahli Rangkaian Pasteur Antarabangsa merupakan satu serangan langsung terhadap keselamatan kesihatan antarabangsa,” kata jurucakap kementerian kesihatan, Hossein Kermanpour, dalam satu hantaran di X.
Beliau turut memuat naik gambar dari lokasi kejadian yang menunjukkan bangunan itu mengalami kerosakan teruk, dengan sebahagian fasiliti musnah menjadi runtuhan.
ISRAEL
Dalam pada itu, tentera Israel berkata, sistem pertahanan udaranya telah bertindak balas terhadap beberapa gelombang serangan peluru berpandu Iran pada awal Khamis, termasuk sekurang-kurangnya dua serangan selepas Trump, menyampaikan ucapan kepada rakyat Amerika mengenai perang tersebut.
Selepas serangan pertama, polis berkata, pegawai-pegawai telah dipanggil ke beberapa lokasi impak di tengah Israel, dengan laporan media menyatakan jumlahnya sebanyak sembilan lokasi.
Empat orang mengalami cedera ringan di kawasan Tel Aviv, menurut laporan yang memetik petugas perubatan.
Menurut Al-Jazeera, angka awal kematian ialah 1,937 di Iran, sekurang-kurangnya 24 di Israel, 13 askar AS dan 27 terbunuh di negara-negara Teluk. – AGENSI










