Agong syukur KDNK suku tahun kedua 2021 berkembang - Utusan Malaysia

Agong syukur KDNK suku tahun kedua 2021 berkembang

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan perasaan syukur apabila Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada suku tahun kedua 2021 berkembang sebanyak 16.1 peratus.

Seri Paduka bertitah, secara keseluruhan pelaksanaan pakej rangsangan, pembukaan semula ekonomi dan struktur ekonomi Malaysia yang pelbagai  menunjukkan trend pemulihan ekonomi.

“Pemulihan tersebut didorong oleh langkah diperkenalkan termasuk bantuan tunai kepada rakyat serta pakej sokongan bagi kelangsungan perniagaan. Untuk separuh tahun kedua 2021, kerajaan telah memberi bantuan kepada 10 juta penerima daripada golongan B40 dan M40 termasuk Bantuan Khas Covid-19 yang bernilai RM10 bilion.

“Bagi perniagaan di bawah Pakej Pemulih, Geran Khas Prihatin bernilai RM1,000 akan dibayar kepada lebih satu juta perusahaan kecil sederhana mikro,” titah Seri Paduka dalam Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Majlis Parlimen Ke-14 2021 hari ini.

AL-SULTAN ABDULLAH RI’AYATUDDIN AL-MUSTAFA BILLAH SHAH

Yang di-Pertuan Agong bertitah, demi kelangsungan perniagaan, Pemulih juga telah menyediakan subsidi upah sehingga empat bulan tambahan bernilai hampir RM4 bilion yang bakal memberi manfaaat kepada lebih 200,000 majikan.

“Meskipun pandemik Covid-19 telah memberi impak negatif terhadap sektor-sektor tertentu negara, Beta berkeyakinan ekonomi Malaysia akan mula menunjukkan pemulihan selari dengan peningkatan kadar vaksinasi penduduk dan seterusnya memberi keyakinan kepada semua pemegang taruh dan para pelabur,” titah Seri Paduka. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN