KEMAMAN: Semua individu sama ada golongan berpengaruh mahupun agamawan tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang jika terbukti melakukan jenayah termasuk gangguan seksual.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, masyarakat terutama umat Islam diminta kekal bertenang dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan lanjut berhubung kes yang dikaitkan dengan seorang pendakwah terkenal.
Bagaimanapun, katanya, perbuatan menghukum seseorang berdasarkan maklumat yang tersebar di media sosial mahu pun menerusi khabar angin adalah langkah tidak wajar.
“Kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat kerana tidak wajar kita mendahului keputusan mahkamah dalam soal menghukum melalui sebaran maklumat tertentu,” katanya ketika diminta mengulas kes gangguan seksual membabitkan seorang pendakwah terkenal di sini hari ini.
Selasa lalu, pengasas Multiracial Reverted Muslims (MRM), Firdaus Wong Wai Hung menerusi platform media sosialnya tampil mendedahkan bukti daripada mangsa serangan seksual pendakwah terkenal berkenaan.
Tindakan itu turut menarik perhatian netizen dan rata-ratanya berharap siasatan telus serta adil dijalankan oleh pihak polis. – UTUSAN