"Ada jangan kedekut yang minta jangan tamak" - Utusan Malaysia

“Ada jangan kedekut yang minta jangan tamak”

TUAN Ibrahim Tuan Man sewaktu berucap merasmikan Majlis Sambutan Hari Sungai Sedunia Peringkat Kebangsaan Tahun 2021 di Sungai Rembau, Lubok China, Rembau hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Ketiga-tiga parti utama dalam kerajaan hari ini iaitu UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas perlu bersedia untuk melakukan pengorbanan termasuk dalam hal pembahagian kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, masing-masing perlu lebih berkompromi dalam isu pembahagian kerusi dan melihat kepada agenda yang lebih besar selain mengelakkan pertembungan tiga penjuru dalam PRU-15 kelak.

“Pertelagahan politik tidak akan selesai sekiranya kita tidak lapang dada. Dalam soal (pembahagian) kerusi, konsep saya mudah, ada dua perkara iaitu yang ada jangan kedekut dan yang minta jangan tamak.

“(Ini)supaya kita boleh kompromi, ada benda kita terpaksa korban kehendak diri demi kepentingan lebih besar. Ketiga-tiga parti kena ada pengorbanan ini untuk matlamat yang lebih besar lagi,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Sungai Sedunia Peringkat Kebangsaan Tahun 2021 di Sungai Rembau, Lubok China, Rembau hari ini.

Sementara itu, Tuan Ibrahim menegaskan, Pas tidak boleh untuk diminta untuk membuat pilihan sama ada untuk bersama Perikatan Nasional (PN) ataupun bersama UMNO dalam Muafakat Nasional (MN) bagi menghadapi PRU-15.

“Kami sudah buat pilihan, pilihan kami iaitu bersama-sama ketiga-tiga parti, itulah pilihan kami, kami tidak boleh diminta untuk buat satu keputusan yang merugikan semua orang.

“Kita kena lihat dalam kerangka besar, mungkin dalam konteks sesetengah negeri, muafakat Pas dan UMNO mungkin cukup tetapi di sesetengah negeri lain ia ada risiko kalau ada tiga penjuru,” katanya.

Tambah beliau, rakyat khususnya umat Islam di negara ini pada pandangannya seronok dengan penyatuan ketiga-tiga parti berkenaan yang kini menerajui kerajaan Persekutuan.

“Ia termasuklah daripada semua parti rakan kita dari Sabah dan Sarawak, saya fikir rakyat melihat ini di antara hala tuju betul masa depan pada PRU-15,” katanya.- UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN