KUALA LANGAT : Sebanyak 876 pemeriksaan ke atas premis menjual ayam yang telah dilakukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor sejak 1 September sehingga semalam.
Pengarah KPDNHEP Selangor, Muhammad Zikril Azan Abdullah berkata, pemeriksaan tersebut dibuat susulan isu kenaikan harga ayam yang berlaku di seluruh negara.
“Kita memeriksa dari peringkat pembekal sehingga peruncit dan ketika membuat pemeriksaan, semua peniaga ayam ini memberi kerjasama baik untuk membuat semakan semula terhadap harga ayam dijual mereka.
“Kesemua mereka bersetuju menurunkan harga jualan dan ini membuatkan harga pasaran ayam di Selangor kini stabil dan terkawal,” katanya selepas majlis menyampaikan Anugerah Kedai Harga Patut (AKHP) 2021 kepada Pasaraya Segi Cash & Carry Sdn. Bhd. ( Pasaraya Segi) di Teluk Panglima Garang di sini, hari ini.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan bahawa KPDNHEP dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan bekerjasama bagi mengatasi isu kenaikan harga ayam, yang dilaporkan telah berlaku sejak awal bulan ini.
Antara langkah yang akan diambil oleh dua kementerian terbabit seperti mengawal harga binatang itu dari peringkat pengeluar dan ladang.
Dalam pada itu, Zikril meminta pengguna supaya membuat aduan rasmi kepada KPDNHEP Selangor di talian 019-2794317 sekiranya mereka mendapati ada peniaga menjual harga ayam dengan mahal.
Sementara itu, Pengurus Besar Bahagian Korporat Pasaraya Segi, Fong Leong berkata, pembelian ayam terus dari ladang ternakan menjadi sebab utama pasarayanya berjaya menjual ayam dengan harga rendah, iaitu RM8 sekilogram.
Menurutnya, pembelian melalui beberapa peringkat pembelian dibuat beberapa peniaga lain yang telah membuatkan harga ayam dijual mereka tinggi.
“Apapun, saya menyokong usaha yang dibuat KPDNHEP dan MAFI untuk mengawal harga ayam bermula dari peringkat pengeluar dan ladang,” katanya.