70,000 tidak hadir ke PPV, Melaka mulakan vaksinasi walk-in esok - Utusan Malaysia

70,000 tidak hadir ke PPV, Melaka mulakan vaksinasi walk-in esok

MELAKA membenarkan vaksinasi secara walk-in bermula esok di semua PPV awam. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Hampir 70,000 pendaftar vaksin melalui aplikasi MySejahtera di Melaka dikesan tidak hadir ke pusat pemberian vaksin (PPV).

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, hasil maklum balas, seramai 54,000 orang memberikan pelbagai alasan termasuk mendakwa, tidak mahu menerima vaksin, namun didaftarkan oleh anak masing-masing. 

Katanya, selain itu, ada yang memaklumkan tidak hadir disebabkan telah mendaftar permohonan vaksin sebanyak dua kali. 

“Sejumlah 69,972 daripada 677,400 orang dewasa berusia 18 tahun ke atas di negeri masih belum menerima vaksin Covid-19 selepas mendaftar di MySejahtera.

“Seramai 54,000 daripada mereka yang belum menerima vaksin memberikan tiga alasan utama termasuk tidak mahu mendaftar tetapi didaftar oleh anak-anak,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, antara sebab lain yang dikemukakan adalah pendaftaran dibuat menggunakan nombor yang salah dan tidak menerima notifikasi temu janji. 

Sehubungan itu, Rahmad berkata, kerajaan negeri membenarkan warganegara berusia 18 tahun ke atas yang belum menerima vaksin hadir secara terus (walk-in) ke mana-mana PPV awam untuk mengambil suntikan tersebut bermula esok.

“Bagi bukan warganegara yang masih belum menerima tarikh temu janji boleh mendapatkan suntikan vaksin di PPV Mega Stadium Hang Jebat dan PPV Stadium Jasin bermula 11 September 2021.

“Bagaimanapun mereka perlu mendaftar terlebih dahulu di dalam MySejahtera dan mereka yang tidak mempunyai telefon pintar boleh walk-in untuk didaftarkan di PPV,” jelasnya.

Katanya lagi, inisiatif walk-in dibenarkan bermula dari pukul 8.30 pagi hingga 4 petang. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN