PETALING JAYA: Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) ingin memaklumkan kesemua 463 kawasan yang terjejas dengan gangguan bekalan air tidak berjadual telah menerima bekalan air bersih sepenuhnya pada pukul 6 pagi ini.
Menurut Air Selangor, ini melibatkan wilayah Petaling, Hulu Langat, Sepang, Putrajaya dan Kuala Langat.
Gangguan bekalan air tidak berjadual itu disebabkan oleh henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih berikutan insiden pencemaran bau di Sungai Semenyih.
Air Selangor ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pengguna di atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini.
Pengguna disarankan untuk mendapatkan maklumat rasmi gangguan bekalan air menerusi semua medium komunikasi rasmi Air Selangor iaitu aplikasi Air Selangor, Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com.
Sebarang pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan di Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300 atau Help Centre di aplikasi Air Selangor.