21 premis jual ayam harga melampau diberi notis bertulis - Utusan Malaysia

21 premis jual ayam harga melampau diberi notis bertulis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR :  Sebanyak 21 premis diberikan notis bertulis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 setelah didapati menjual ayam pada harga tidak munasabah di negeri ini.

Timbalan Pengarah Penguat Kuasa (Operasi) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Shamsul Nizam Khalil berkata, pemantauan dan pemeriksaan harian dilakukan secara konsisten di setiap rantaian pengedaran ayam iaitu penternak, pemborong dan peruncit.

Kata beliau, operasi itu penting dalam memastikan tiada pihak yang memanipulasi harga dan mengaut keuntungan tidak munasabah.

“Susulan daripada isu kenaikan harga ayam, pihak KPDNHEP Kedah menjalankan pemeriksaan berterusan di pasar-pasar awam untuk memastikan peniaga tidak menjual ayam standard melebihi RM9.50 sekilogram,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, pihaknya setakat ini telah melakukan 704 pemeriksaan di seluruh negeri ini bagi memastikan isu kenaikan harga ayam dapat dikawal.

“Ayam di pasar basah dijual pada harga antara RM9 sehingga RM10.50 sekilogram sejak awal  bulan ini,” ujarnya.

Bagaimanapun, katanya, pemeriksaan juga mendapati ada peniaga menjual ayam standard pada harga RM7.90 di Pasar Besar Alor Setar.  

“Peniaga ini juga menjual ayam sejuk beku pada harga RM7 sekilogram yang mana dia mengambil keuntungan margin yang sedikit bagi membantu lebih ramai pengguna berkemampuan membeli ayam pada harga munasabah,” jelasnya. 

Katanya, selain Pasar Besar Alor Setar, hasil pemantauan di pasar-pasar seluruh negeri ini mendapati terdapat juga peniaga menawarkan ayam pada harga terendah seperti di Kuala Nerang dengan harga RM8 sekilogram.

“Di Sungai Petani pada harga RM 8.30 sekilogram, Pasar Awam Jitra RM 8.50 sekilogram dan Pasar Awam Kuala Ketil pula pada harga RM9 sekilogram,” katanya.

Tambahnya, bahagian penguat kuasa juga melaksanakan satu pendekatan baru iaitu penggunaan Surat Pemberitahuan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 digunakan sebagai Soft Approach dalam tindakan pemantauan maklumat di bawah AKHAP 2011. 

“Objektif surat ini dikeluarkan sebagai satu tindakan pemantauan kedudukan harga dan peringatan kepada peniaga supaya tidak menaikkan harga dengan sewenang-wenangnya seterusnya dapat menangani isu kenaikan harga yang terlalu tinggi dipasaran. 

“Hasil pendekatan Soft Approach ini mendapati sebanyak 12 peniaga (25 peratus) di Kedah menurunkan harga ayam di bawah paras RM 9.50 sekilogram dan didapati pendekatan ini sangat berkesan untuk menstabilkan  harga ayam di pasaran secara seimbang kepada peniaga dan pengguna,” katanya.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN