JEMPOL: Seramai 21 orang penagih dadah ditahan polis dalam Op Sarang yang dijalankan bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Jempol di sekitar kawasan Palong, di sini selama dua hari berakhir semalam.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, ujian air kencing ke atas semua suspek lelaki berusia 20 hingga 50 tahun serta tidak mempunyai pekerjaan tetap itu didapati positif dadah.
Menurutnya, daripada jumlah tangkapan berkenaan, lapan orang lelaki merupakan tangkapan orang di kehendaki berhubung kes dadah.
“Tujuh lelaki pula diserahkan kepada pihak AADK untuk tindakan di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983.
“Dalam operasi ini juga, polis turut merampas dadah jenis heroin dianggarkan seberat kira-kira 45 gram dengan nilai pasaran RM1,575 manakala rampasan dadah jenis syabu pula seberat 13 gram dengan nilai pasaran sebanyak RM1,300,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Chang Hook berkata, dalam operasi yang sama seorang lelaki disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, tiga lelaki disiasat di bawah Seksyen 39A (1) ADB 1952 dan tiga lelaki disiasat di bawah Seksyen 12(2) ADB 1952.
“Kesemua suspek akan direman bagi membantu siasatan,” katanya. – UTUSAN










