- Utusan Malaysia

MOHD. Shahar Abdullah (kiri) meninjau operasi bot tambang ketika sesi 'walk about' di Jeti Pelancongan, Langkawi, Kedah,  hari ini. - UTUSAN/NUR AMALINA AZMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Kementerian Kewangan menerima 50,000 maklum balas daripada rakyat Malaysia berkaitan Kenyataan Pra-Bajet (KPB) bagi Belanjawan 2022 selepas diumumkan pada 31 Ogos lalu.

Timbalan Menteri Kewangan I, Mohd. Shahar Abdullah berkata, kesemua maklum balas tersebut sedang diteliti dalam proses penyediaan Belanjawan 2022 sebelum dibentangkan pada 29 Oktober ini.

“Setakat hari ini, hampir 50,000 penyertaan diterima daripada rakyat yang memberi komen, pandangan dan idea, selain ada yang memberi proposal.

“Fokus maklum balas mereka tiga perkara termasuk bantuan rakyat, suntikan modal perniagaan dan cadangan langkah-langkah fiskal,” katanya selepas sesi ‘walk about’ di Jeti Pelancongan, di sini hari ini.

Maklum balas berkaitan PKB itu boleh disampaikan melalui laman web, https://budget.mof.gov.my.

Dalam pada itu, Mohd. Shahar memberitahu, Kementerian Kewangan akan memberi tumpuan untuk memulihkan semula ekonomi melibatkan sektor pelancongan di Pulau Langkawi dalam Belanjawan 2022.

Ini kerana, katanya, sektor pelancongan pernah menyumbang sebanyak 15.9 peratus atau RM240.2 bilion kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara pada tahun 2019.

Daripada jumlah itu, Mohd. Shahar berkata, Langkawi mencatatkan pendapatan sektor pelancongan yang dianggarkan berjumlah RM1.7 bilion dengan kemasukan sebanyak 3.96 juta pelancong pada tahun tersebut.

“Sebanyak 90 peratus ekonomi Langkawi bergantung kepada sektor pelancongan, itu sebabnya kita nak lihat apa sahaja cadangan rakyat dan kita tak boleh lagi hanya melihat laporan-laporan di atas meja di Putrajaya,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN