Sebanyak 19,000 dos vaksin secara jumpa terus di Negeri Sembilan

19,000 dos vaksin untuk individu ‘walk in’ di Negeri Sembilan

AMINUDDIN Harun (tengah) dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri, Seremban, hari ini. - FOTO/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan menyediakan sebanyak 19,000 dos suntikan vaksin Covid-19 secara jumpa terus (walk in) bagi individu warganegara yang berusia 18 tahun dan tinggal di negeri ini yang masih belum mendapatkan vaksin.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pemberian suntikan vaksin Covid-19 secara jumpa terus akan dijalankan di 10 buah pusat pemberian vaksin (PPV) terpilih di negeri ini bermula 20 hingga 25 September depan.

Ujar beliau, langkah tersebut sebagai usaha memastikan seluruh rakyat di negeri ini yang berumur 18 tahun ke atas diberikan vaksin Covid-19.

“Ia seterusnya memastikan kadar jangkitan Covid-19 di negeri ini terus melandai. Pemberian vaksin secara jumpa terus ini akan dilaksanakan di PPV terpilih termasuk klinik kesihatan.

“Pemberian vaksin Covid-19 ini hanya untuk warganegara Malaysia di Negeri Sembilan yang berumur 18 tahun ke atas dan tidak melibatkan rakyat dari negeri lain atau bukan warganegara. Pelaksanaan secara jumpa terus ini untuk mereka yang telah mendaftar menerusi MySejahtera tetapi belum mendapat tarikh janji temu atau mereka yang masih belum mendaftar dengan MySejahtera,” katanya.

Aminuddin berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri, di sini hari ini. 

10 lokasi PPV terlibat dalam pelaksanaan pemberian vaksin Covid-19 secara jumpa terus ialah Dewan Majlis Bandaraya Seremban, Kompleks Belia dan Sukan, Paroi; Dewan Kompleks Belia dan Sukan Telok Kemang, Port Dickson; Dewan D’Sury, Jelebu; Dewan Pejabat Daerah Jempol; Dewan Majlis Perbandaran Jempol (Bahau); Kompleks Sukan Komuniti Felda Palong 6, Jempol; Dewan Dato’ Bahaman, Kuala Pilah; Klinik Kesihatan Rembau; Dewan Perdana Tampin dan Dewan Besar Gemas. 

Jelas Menteri Besar lagi, bagi rakyat di negeri ini yang telah menerima janji temu melalui MySejahtera, mereka tidak dibenarkan untuk pemberian vaksin secara jumpa terus dan perlu mengikuti tarikh janji temu yang telah diberikan.

“Kaedah pelaksanaan pemberian suntikan ini adalah secara First Come First Serve dan bergantung kepada bekalan vaksin harian di semua PPV yang terlibat. 

“Orang ramai yang hadir tetapi tidak mendapat suntikan pada hari berkenaan kerana kehabisan vaksin akan diberi janji temu pada hari berikutnya. Orang ramai yang bergejala, kontak rapat dan dalam tempoh kuarantin tidak dibenarkan hadir datang terus ke PPV.

“Semoga usaha ini dapat mempercepat pencapaian vaksinasi lengkap 100 peratus bagi rakyat negeri ini yang berumur 18 tahun ke atas,” katanya. 

Sementara itu, Aminuddin berkata, Negeri Sembilan telah berjaya mencapai 80 peratus imuniti kelompok bagi rakyat di negeri ini yang berumur lebih 18 tahun ke atas pada 2 September lalu. 

“Semenjak 13 September lalu, Negeri Sembilan telah berjaya mencapai 100 peratus rakyat berusia lebih 18 tahun yang menerima vaksin dos satu dan sebanyak 88.9 peratus yang telah menerima suntikan lengkap dua dos vaksin. 

“Bermula pada 4 September lalu, Negeri Sembilan telah beralih dari Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) ke Fasa 3 dan kita sedang berusaha agar negeri ini dapat beralih ke Fasa 4 PPN dalam masa terdekat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN