14 pengunjung dikompaun langgar SOP, Empangan Mengkuang ditutup

14 pengunjung dikompaun langgar SOP, Empangan Mengkuang ditutup

BEBERAPA individu disoal dan dikenakan kompaun kerana gagal mematuhi SOP ketika berada di Empangan Mengkuang, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Empangan Mengkuang yang dibuka semula untuk tujuan rekreasi sejak beberapa bulan lalu di sini bagaimanapun terpaksa ditutup buat sementara waktu iaitu selama tujuh hari bermula hari ini.

Arahan penutupan itu dikeluarkan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Tengah (PKDSPT) bagi mengawal penularan pandemik Covid-19 di bawah Akta 342 atau Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Perkara itu disahkan oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) selaku pihak berkuasa yang mengendalikan empangan tersebut dalam satu kenyataan, hari ini.

JASENI MAIDINSA

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk Ir. Jaseni Maidinsa berkata, penutupan itu dibuat mengikut Seksyen 18 (1)(d) akta yang sama untuk mengawal penularan Covid-19 selain bertujuan menjaga keselamatan awam.

Katanya, PBAPP juga telah mengerahkan unit polis bantuan mereka ke lokasi untuk mengawal keadaan selain bagi menghalang pengunjung daripada memasuki kawasan empangan tersebut buat masa ini.

“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan untuk tidak mengunjungi Empangan Mengkuang buat masa ini dan mereka yang berdegil untuk datang akan ditahan di pintu masuk serta diarahkan pulang,” ujar beliau.

Terdahulu, seramai 14 orang pengunjung dilaporkan telah dikompaun ketika beriadah di kawasan tersebut hari ini selepas mereka dikatakan gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Fasa Kedua di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Difahamkan, 11 daripada kompaun itu dikeluarkan oleh PKDSPT manakala selebihnya oleh Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) atas pelbagai kesalahan termasuk tidak memakai pelitup muka, tiada penjarakan fizikal dan sebagainya dengan setiap kompaun bernilai RM1,500.

Dalam pada itu, Jaseni berkata, apabila Empangan Mengkuang dibuka semula pada 23 September depan, beberapa peraturan lebih ketat akan dilaksanakan demi keselamatan dan kesihatan pengunjung.

“Antaranya ialah hanya mereka yang telah lengkap divaksin sahaja dibenarkan memasuki dan menggunakan kemudahan di situ manakala individu yang berusia 17 tahun dan ke bawah pula perlu ditemani ibu bapa mereka yang telah lengkap divaksin sahaja untuk tujuan itu.

“Aktiviti seperti perhimpunan beramai-ramai hingga menyukarkan penjarakan fizikal bagaimanapun adalah dilarang

sama sekali,” katanya yang menambah, hanya individu yang berstatus risiko rendah dan kontak kasual dalam aplikasi MySejahtera sahaja akan dibenarkan masuk.

Jaseni berkata, selain Empangan Mengkuang, arahan yang sama juga terpakai untuk tiga lagi kawasan empangan di negeri ini iaitu Empangan Air Itam, Empangan Teluk Bahang serta Taman Rekreasi Bukit Dumbar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN