PETALING JAYA: Lawatan negara Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim ke Moscow membuka lembaran baharu dalam hubungan dua hala antara Malaysia-Russia sekali gus merancakkan kerjasama strategik pelbagai bidang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, lawatan negara itu amat bersejarah dan signifikan apabila menjadikan Seri Paduka sebagai Ketua Negara Malaysia pertama menjejakkan kaki ke Russia sejak hubungan diplomatik dimeterai pada 1967.
Katanya, lawatan itu juga dijangka merancakkan lagi kerjasama strategik dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan dua hala, pelaburan, pendidikan tinggi, teknologi dan inovasi serta hubungan sesama rakyat.
“Malaysia berpotensi menarik pelaburan serta teknologi baharu daripada Russia, khususnya dalam sektor tenaga, aeroangkasa, pertahanan dan pertanian pintar sejajar dengan agenda Ekonomi Madani yang menekankan daya saing, kemampanan serta kemakmuran Bersama.
“Lebih penting, lawatan negara ini mengukuhkan peranan institusi diraja Malaysia sebagai pemacu diplomasi negara yang dihormati di peringkat antarabangsa, sekali gus memperteguh kedaulatan dan imej Malaysia sebagai negara yang berkecuali, terbuka dan progresif,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.
Terdahulu, Anwar mengiringi Yang di-Pertuan Agong ke Istiadat Mengucap Selamat Berangkat Sempena Lawatan Negara ke Russia dari 5 hingga 10 Ogos.
Anwar berkata, lawatan negara ke Russia oleh Yang di-Pertuan Agong itu adalah bagi memenuhi jemputan rasmi Presiden Russia, Vladimir Putin.
“Ia melambangkan kedudukan Seri Paduka Baginda sebagai lambang perpaduan negara yang turut memainkan peranan strategik dalam memperkukuh hubungan antarabangsa Malaysia,” katanya.
Sebelum ini, Istana Negara berkata, Yang di-Pertuan Agong berkenan mengadakan lawatan negara ke Russia bermula 5 hingga 10 Ogos ini atas jemputan Putin.
Sempena lawatan itu, Sultan Ibrahim dijadual menghadiri Istiadat Sambutan Negara yang akan diadakan di Kremlin dan disempurnakan oleh Putin, diikuti satu pertemuan rasmi antara kedua-dua ketua negara.
Selain itu, Yang di-Pertuan Agong turut dijadual menghadiri Majlis Santapan Negara yang akan dihoskan oleh Presiden Russia selain mencemar duli melawat Pusat Pembangunan Teknologi Automotif Rusia (NAMI) serta Hab Teknologi dan Inovasi Tochka Kipeniya.
Selesai lawatan ke Moscow, Seri Paduka berkenan meneruskan lawatan ke Kazan, Republik Tatarstan pada 8 Ogos.
Republik Tatarstan merupakan salah sebuah republik autonomi Persekutuan Rusia dengan majoriti penduduk beragama Islam.
Di Kazan, Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Rais Republik Tatarstan, Rustam Minnikhanov sebelum berangkat melawat pusat pembuatan dan pemasangan helikopter di republik berkenaan.
Pada Mei lalu, Perdana Menteri melakukan lawatan rasmi empat ke Moscow juga atas undangan Putin selain turut kunjungan ke Kazan, Tatarstan.
Pada 2024, Russia adalah rakan dagang kesembilan terbesar Malaysia dalam kalangan negara Eropah dengan jumlah dagangan mencecah RM11.46 bilion (AS$2.48 bilion).-UTUSAN










