PUTRAJAYA: Sebanyak 102 kes daripada 361 kematian akibat Covid-19 melibatkan kematian di luar hospital (BID) hari ini menjadikan jumlah tertinggi setakat ini, dengan 31 kes daripadanya adalah warga asing.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kematian melibatkan 191 lelaki dan 170 perempuan termasuk 60 warga asing manakala 259 kes meninggal di hospital.
“Sebanyak 262 kes daripada kes kematian hari ini pula, melibatkan pesakit yang mempunyai pelbagai latar belakang penyakit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noor Hisham berkata, Malaysia mencatatkan peningkatan kes positif Covid-19 iaitu 19,733 kes berbanding semalam, 18,547 kes sekali gus terus diatasi kes sembuh iaitu 22,701 kes dengan 904 kes di unit rawatan rapi (ICU) selain 430 kes memerlukan bantuan pernafasan dan 248,673 kes aktif.
Katanya, Sarawak pula menjadi penyumbang terbesar dengan mencatatkan 3,100 kes diikuti Selangor (2,989), Pulau Pinang (2,474), Sabah (2,067), Johor (1,867), Kedah (1,564), Kelantan (1,471) dan Perak (1,319).
“Lima negeri mencatatkan kes tiga angka iaitu Terengganu (904), Pahang (700), Kuala Lumpur (537), Melaka (375) dan Negeri Sembilan (256). Perlis pula mencatatkan 74 kes dan Putrajaya, 29 kes manakala Labuan hanya tujuh kes,” katanya.
Mengulas mengenai 35 kluster baharu, beliau berkata, tempat kerja mencatatkan 20 kluster, 11 kluster komuniti, dua kluster kumpulan berisiko tinggi, satu kluster pendidikan dan satu kluster pendidikan swasta.
Kluster tempat kerja katanya, enam di Selangor, empat di Pulau Pinang, tiga di Johor, dua di Kedah manakala Sarawak, Perak, Pahang, Negeri Sembilan dan Melaka, masing-masing satu kluster.
“Bagi kluster komuniti, lapan di Kelantan manakala Johor, Pahang dan Sarawak, masing-masing satu kluster. Kluster kumpulan berisiko pula, dua di Perak manakala kluster pendidikan, satu di Selangor dan kluster pendidikan swasta, satu di Johor,” katanya.
Dalam perkembangan melibatkan keseluruhan kes positif hari ini, Noor Hisham berkata, daripada 19,733 kes, sebanyak 429 kes (2.2 peratus) adalah kategori tiga, empat dan lima.
“Sebahagian besar kes iaitu 19,304 kes (97.8 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori satu dan dua,” katanya. – UTUSAN










