GEORGETOWN: Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) Cawangan Timur Laut menyita 1,000 kilogram (kg) minyak masak peket dalam operasi di sebuah stor berhampiran premis yang menjalankan perniagaan borong sayur-sayuran, di sini semalam.
Ketua Pegawai Penguatkuasa, Ahmad Ahrazzuddin Ahmad Hamdan berkata, empat anggota penguat kuasa PPDNHEP Cawangan Timur Laut menjalankan pemeriksaan di stor berkenaan kira-kira pukul 11 pagi.
Katanya, pemeriksaan itu menemukan barang kawalan berjadual iaitu minyak masak paket satu kg sebanyak 1,000 kg bernilai RM2,500 yang diragui dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Berdasarkan siasatan awal, kami mendapati stor berkenaan digunakan untuk menyimpan bekalan minyak masak bagi pasaran di sekitar Georgetown.
“Namun, stor berkenaan bukanlah tempat penyimpanan seperti yang dinyatakan dalam lesen. Siasatan lanjut akan dijalankan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah beliau, kes berkenaan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang mana jika disabitkan kesalahan seseorang itu boleh dikenakan denda sebanyak tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala syarikat perbadanan denda boleh dikenakan tidak lebih RM2 juta. – UTUSAN ONLINE