10 ekor lembu jenis LSD dilupuskan di Terengganu

10 lembu LSD dilupuskan di Terengganu

AZMAN IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Sebanyak 10 lembu yang dikenal pasti mempunyai gejala penyakit kulit kental (LSD) dilupuskan di Terengganu, tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, kesemua ternakan itu merupakan antara 60 yang disyaki positif penyakit berkenaan sebelum ujian klinikal dilakukan.

Bagaimanapun, katanya, situasi LSD di negeri ini masih lagi terkawal dan langkah pencegahan akan terus diperkasakan menerusi aktiviti vaksinasi membabitkan peruntukan sebanyak RM100,000 kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu.

“JPV mempunyai prosedur operasi standard (SOP) untuk menguruskan kes LSD antaranya lembu dikuarantin serta-merta untuk proses rawatan jika disyaki mempunyai gejala.

“Sekiranya lembu berkenaan tidak dapat diselamatkan, maka kaedah penyembelihan akan diambil dengan daging dikembalikan semula kepada penternak di samping pemberian ganti rugi sebanyak RM800 bagi setiap ternakan yang dilupuskan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Bazlan Abdul Rahman (BN-Batu Rakit) dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Sementara itu, Azman berkata, jumlah lembu yang direkodkan di negeri ini pada tahun lalu meningkat kepada 85,437 ekor berbanding 79,167 ekor (2019) dan 87,783 ekor (2018).

Katanya, bilangan kerbau pula menurun pada tahun lalu dengan sebanyak 5,085 ekor manakala tahun sebelumnya 8,004 ekor dan 8,508 ekor (2018). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN