SUNGAI PETANI: Polis menahan seorang warga emas selepas didakwa mengaibkan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor dengan mengeluarkan kenyataan jelik menerusi satu video yang di muat naik di laman Facebook semalam.
Suspek berusia 61 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah bersama pasukan polis dari JSJ Ibu pejabat Polis Daerah (IPD), Kuala Muda di rumahnya di Lenggeng, Negeri Sembilan.
Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya telah menerima satu laporan polis daripada Pegawai Khas Menteri Besar yang juga merupakan Yang DiPertua Pas Kawasan Merbok berhubung kejadian tersebut.
Beliau berkata, hasil siasatan mendapati terdapat satu pautan di laman ‘Facebook Kamal Hero Malaya’ yang memaparkan satu video berdurasi 9.19 minit dipercayai mengandungi kandungan yang menghina dan menjatuhkan maruah serta mencemarkan reputasi Menteri Besar Kedah.
Menurutnya, polis turut merampas seunit telefon tangan milik warga emas itu untuk siasatan.
“Hasil semakan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau yang masih disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” jelasnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, perintah reman terhadap lelaki itu telah diperoleh sehingga pukul 5 petang ini bagi mengambil keterangan suspek dan suspek akan diberi jaminan polis selepas selesai mengambil keterangan.
“Siasatan akan dilengkapkan dalam masa terdekat sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwaraya untuk tindakan selanjutnya.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE