KAMPAR: Seorang wanita warga emas ditemukan mati dengan kesan kelar di leher dipercayai dibunuh di sebuah rumah di Taman Desa Cahaya, Gopeng di sini hari ini.
Mangsa berusia 74 tahun itu ditemukan dalam keadaan terbaring di atas katil di bilik tingkat bawah rumah dua tingkat yang turut dihuni suaminya.
Susulan kejadian itu, seorang lelaki berusia 72 tahun iaitu suami mangsa ditahan bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Hasron Nazri Hashim berkata, kejadian menimpa mangsa dimaklumkan suami wanita itu kepada cucu mereka melalui panggilan telefon pada pukul 7.30 pagi.
“Cucu lelaki mangsa bersama ibu dan adiknya telah pergi ke rumah tersebut dan mendapati wanita itu terbaring tidak sedarkan diri di atas katil.
“Terdapat kesan kelar di leher mangsa selain menemukan sebilah pisau di tepi mayat yang dipercayai digunakan semasa kejadian,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, mangsa merupakan orang kurang upaya (OKU) iaitu lumpuh separuh badan kerana mengalami strok selain mempunyai penyakit kencing manis, darah tinggi dan menggunakan kerusi roda untuk bergerak.
Katanya, suspek pula menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi, selain perlu berjalan menggunakan tongkat.
“Mangsa hanya tinggal berdua bersama suaminya dan pemeriksaan mendapati tiada kesan pecah masuk di tempat kejadian.
“Kali terakhir anak perempuan mangsa menemui ibunya di rumah tersebut pada pukul 8 malam semalam dan tiada perkara yang mencurigakan berlaku,” katanya.
Tambah beliau, cucu pasangan itu juga memberitahu, ketika dia sampai di rumah tersebut, suspek yang ditemui di pintu bilik ada mengatakan yang dia juga mahu mati.
“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh untuk bedah siasat dan siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti motif kejadian.
“Kita juga telah merampas senjata yang digunakan dalam kejadian itu dan menahan suspek untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya. – UTUSAN ONLINE