Wanita, tiga rakan lelaki dituduh bunuh seorang lelaki

(VIDEO) Wanita, tiga rakan lelaki dituduh bunuh

TERTUDUH dari kanan, Mohd. Hafize Mohamad Kassim, Tan Wei Cong dan Awalludin Abdul Hamid dihadapkan ke mahkamah bersama seorang wanita atas pertuduhan dengan niat menyebabkan kematian seorang lelaki di Mahkamah Majistret Kulai, Johor. - FOTO/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: Seorang wanita serta tiga kawan lelakinya dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan bunuh seorang lelaki di Jalan Tan Yoke Fong, di sini, pertengahan Ogos lalu. 

Tertuduh, Mohd. Hafize Mohamad Kassim, 36; Noorhaszieda Hasan, 32; Awalludin Abdul Hamid, 54, dan Tan Wei Cong, 25, hanya mengangguk faham pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Sharifah Maleeha Syed Hussin.

Tiada pengakuan direkodkan daripada keempat-empat tertuduh berkenaan yang kesemuanya penganggur.

Mengikut kertas pertuduhan, kesemua tertuduh melaksanakan niat bersama telah menyebabkan kematian terhadap Nosaisain Muhamad, 46, antara pukul 7 pagi hingga 9.45 malam di rumah di Jalan Tan Yoke Fong 25, Taman Tan Yoke Fong, pada 16 Ogos lalu.

Bagi pertuduhan itu, keempat-empat suspek didakwa telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

Tiada jaminan dibenarkan dan mahkamah menetapkan 5 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula serta pemeriksaan status bedah siasat. 

VIDEO OLEH RAJA JAAFAR ALI/UTUSAN

Dalam prosiding itu, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Edelynn Wong, manakala keempat-empat tertuduh tidak diwakili peguam.

Pada 16 Ogos lalu, akhbar melaporkan seorang wanita mendakwa mangsa memasuki rumahnya di Jalan Tan Yoke Fong ketika dia sedang tidur pada pukul 8.30 pagi sebelum wanita itu menghubungi rakannya.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tok Beng Yeow berkata, lelaki itu dipukul hingga mengalami kecederaan parah sehingga maut ketika mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru pada pukul 9.45 malam hari yang sama.

Siasatan awal terhadap wanita berkenaan mendapati kejadian itu berpunca kerana isu hutang sebelum menahan wanita itu serta tiga rakannya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya