Wanita rugi RM10,049 terperdaya tawaran kerja palsu - Utusan Malaysia

Wanita rugi RM10,049 terperdaya tawaran kerja palsu

AIBEE ABD. GHANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang wanita mengalami kerugian sebanyak RM10,049 selepas terpedaya dengan tawaran kerja palsu di Facebook.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Superintenden Aibee Ab. Ghani berkata, mangsa berusia 33 tahun itu telah melihat tawaran kerja berkenaan di akaun Facebook Jobs Hiring World dan Job Seek kira-kira pukul 12 tengah hari semalam.

Menurutnya, mangsa yang berminat dengan tawaran berkenaan telah menghantar pesanan melalui WhatsApp ke nombor telefon 010-7164780 dan 011-24131813 kerana kerja itu memerlukan dia hanya mempromosikan barang daripada platform pembelian dalam talian Shopee.

“Mangsa telah diminta mengisi maklumat peribadi termasuk akaun bank bagi pembayaran gaji atau komisyen. Setelah mengisi data peribadi berkenaan, penerangan dan pautan Shopee diberikan.

“Kira-kira pukul 2.39 petang untuk jualan produk pertama, mangsa telah memindahkan wang menerusi Maybank2u sebanyak RM32 ke dalam akaun yang diberikan dan kurang daripada 10 minit, mangsa telah menerima bayaran berserta komisyen dalam akaunnya sebanyak RM35.20,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Aibee berkata, pada pukul 2.54 petang, mangsa telah memindahkan wang sebanyak RM149 ke dalam akaun yang sama bagi transaksi kedua dan mendapat semula wang berserta komisyen sebanyak RM163.09.

Menurutnya, bagi transaksi berikutnya kira-kira pukul 3.16 petang, mangsa telah memindahkan wang sebanyak RM1,750 ke dalam akaun lain pula dan dimaklumkan perlu menambah jualan sebanyak dua produk lagi bagi mendapatkan pulangan wang.

“Mangsa menuruti arahan berkenaan dan melakukan dua lagi transaksi pembayaran dengan setiap satunya bernilai RM1,750. Selepas tiga transaksi berkenaan, mangsa diarahkan untuk membuat pembayaran RM4,799 bagi menjual satu lagi produk baharu bagi mendapatkan pemulangan wang.

“Pada pukul 3.58 petang, mangsa telah membuat pemindahan wang dan dimaklumkan terdapat masalah pada sistem. Mangsa juga dimaklumkan jumlah wang yang dimasukkan adalah salah dan pulangan modal tidak dapat diberikan,” katanya.

Menurut Aibee, mangsa yang sedar tertipu meminta pulangan wang berkenaan tanpa komisyen serta tidak mahu meneruskan kerja sambilan berkenaan lagi.

“Bagaimanapun, mangsa telah diminta untuk memindahkan wang sebanyak RM7,899 bagi mendapatkan kesemua wangnya kembali,” katanya.

Mangsa telah membuat laporan polis di Balai Polis Rahang semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, pihaknya telah mengesan terdapat sindiket yang bergiat aktif menipu dalam talian dengan menggunakan modus operandi tawaran kerja sambilan yang kononnya ditawarkan oleh syarikat jualan dalam talian terkenal.

“Antara Februari hingga Julai tahun ini, sebanyak 25 kertas siasatan telah dibuka melibatkan kerugian sebanyak RM570,000 bagi penipuan tawaran kerja sambilan palsu ini.

“Kerugian terendah adalah sebanyak RM1,200 manakala kerugian tertinggi adalah sebanyak RM138,000,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya