(VIDEO) 200,000 dos pertama vaksin Cansino tiba hari ini - Utusan Malaysia

(VIDEO) 200,000 dos pertama vaksin Cansino tiba hari ini

SITI Hamisah Tapsir (dua dari kiri) dan Mohd. Shafiq Abdullah (tiga dari kiri) hadir menyaksikan ketibaan vaksin Cansino di KLIA. - IHSAN MOSTI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sebanyak 200,000 dos vaksin dos tunggal, Cansino tiba hari ini daripada pembekal CanSinoBiologics, China. 

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam kenyataan memaklumkan, vaksin berbentuk ‘finished product’ itu adalah sebahagian daripada 3.5 juta dos vaksin tersebut yang  ditempah Malaysia dengan penghantaran dibuat secara berperingkat.

Menurutnya, vaksin CanSino mendapat kelulusan penggunaan bersyarat oleh Pihak Berkuasa Bekalan Dadah (PKBD)  untuk kegunaan kecemasan di negara ini pada 15 Jun lalu. 

“Solution Biologics adalah Pemegang Pendaftaran Produk bagi CanSino di Malaysia. 

“Bekalan ini dapat memperhebat lagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) terutama di kawasan yang rendah akses dan seterusnya membantu Malaysia mencapai sasaran imuniti kelompok seperti disasarkan dalam Pelan Pemulihan Negara mengikut garis masa yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Terdahulu, vaksin berkenaan diterbangkan MAS Kargo melalui pesawat MH361 dari Beijing, China dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 7.50 pagi tadi.

Yang turut hadir menyaksikan ketibaan vaksin tersebut ialah Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Dr. Siti Hamisah Tapsir dan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan,  Datuk Mohd. Shafiq Abdullah.

Ketika ini, tiga jenis vaksin diberikan kepada penduduk Malaysia di bawah PICK iaitu Cominarty (Pfizer BioNTech), CoronaVac (Sinovac) dan AstraZeneca, manakala satu lagi vaksin iaitu Johnson & Johnson turut mendapat kelulusan bersyarat. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN