KUALA SELANGOR: Penduduk kampung di kawasan pedalaman khususnya mereka yang tidak mempunyai akses telefon pintar dan aplikasi MySejahtera, justeru dikhuatiri belum mendaftar untuk mendapatkan vaksin Covid-19.
Hal itu dimaklumkan Pengerusi Alumni Gerakan Belia 4B (AGB4B) Kuala Selangor, Mohd. Afendy Dahlan ketika menyerahkan bantuan bakul makanan kepada keluarga yang terkesan dengan wabak Covid-19 di Kampung Sungai Rambai, Bestari Jaya, di sini.
Beliau berkata, semua pihak termasuk kerajaan Pusat atau negeri perlu memberi kesedaran kepada golongan itu serta membantu mereka untuk mendapatkan vaksin termasuk hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berhampiran.
“Bukan semua penduduk memiliki telefon yang canggih untuk mendaftar melalui MySejahtera. Mungkin ada yang sehingga kini masih belum mendaftar.
“Kes Covid-19 yang masih belum reda di negeri ini memerlukan pihak berkuasa lebih proaktif membantu rakyat di kawasan kampung mendaftar diri sebagai penerima vaksin,” katanya.
Mohd.Afendy menambah, beliau bimbang penduduk di kampung yang kebanyakan ketua keluarganya bekerja di kilang tercicir sebagai penerima vaksin dan berisiko dijangkiti Covid-19 jika pendaftaran secara bersasar tidak dilakukan.
Mengulas mengenai program tersebut, pemberian vaksin dan bantuan makanan perlu seiring bagi memastikan kebajikan rakyat terpelihara di saat pandemik Covid-19 masih belum reda di negeri ini.
“Vaksin boleh dianggap sebagai bekalan makanan jangka panjang bagi memastikan tubuh kita dapat melawan virus Covid-19.
“Dalam masa yang sama, rakyat yang dilanda kesan akibat pandemik Covid-19 perlu diberi bantuan makanan agar keluarga mereka tidak berdepan masalah kesihatan yang lain,”katanya.
Katanya lagi, antara sumbangan barang makanan asas yang disampaikan adalah beras, gula dan lain-lain.
Bagaimanapun bermula bulan ini, Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) memaklumkan orang ramai yang masih belum mendapat janji temu boleh hadir secara walk-in di PPV bagi mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.
Malah, Kerajaan Negeri Selangor turut mengumumkan penduduk di negeri itu boleh hadir secara walk-in ke salah satu daripada 12 PPV melalui Program Vaksin Selangor (SelVax) mulai 2 Ogos. – UTUSAN