PUTRAJAYA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan bahawa strategi yang telah dirangka kerajaan sebelum ini akan diteruskan dan diperkasa serta ditambah baik dengan mengambil kira pandangan pakar-pakar kesihatan awam negara bagi menangani wabak Covid-19.
Perdana Menteri dalam ucapan awam sulungnya berkata, beliau memandang serius perkara itu kerana varian wabak itu sentiasa berevolusi, bermula daripada varian alpha kepada beta dan yang terkini ialah varian lambda.
“Saya akan memastikan setiap intervensi dan usaha pihak kerajaan untuk menurunkan kes Covid-19 dilakukan secara lebih komprehensif.
“Ia bakal dilaksanakan melalui kerjasama strategik rentas kerajaan dengan penglibatan pemegang taruh, agensi kerajaan dan pihak swasta bagi memastikan sistem kesihatan negara kembali stabil,” katanya.
Pada masa sama, Ismail berkata, memandangkan Malaysia konsisten memberi kadar vaksinasi yang tinggi melebihi 500,000 dos sehari, kerajaan akan meneruskan usaha yang dilaksanakan sebelumnya agar segera beralih ke fasa pemulihan melalui sasaran imuniti kelompok.
“Demi mencapai sasaran tersebut lebih awal, kerajaan ini akan memastikan inisiatif dan strategi dalam meningkatkan liputan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang sedang berlangsung semakin diperhebat.
“Untuk itu, saya berterima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang telah pun memberikan kerjasama penuh dalam pengambilan vaksin. Keupayaan memerangi pandemik secara berkesan memerlukan komitmen daripada semua Keluarga Malaysia. Bagi mereka yang masih belum mendaftar, rayulah ahli keluarga kita untuk segera berbuat demikian,” katanya. – UTUSAN ONLINE