PETALING JAYA: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan tindakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dianggapnya membuat satu kenyataan palsu mengelirukan Yang di-Pertuan Agung dengan mengatakan beliau mempunyai jumlah majoriti.
Beliau berkata, ini berikutan sudah jelas bahawa Muhyiddin tidak mempunyai majoriti, malah UMNO yang mengatakan lapan ahli Parlimennya yang menarik sokongan.
“Penipuan ini berterusan bukan sahaja kepada rakyat. Apakah tidak benar dikatakan semua parti (pembangkang) 105 (ahli Parlimen), ditambah lapan (atau) 12 itu masih minoriti?.
“Terang bahawa Muhyiddin dan kerajaan sudah jatuh, tetapi ada peguam kata kena tunggu (Parlimen), betul.
“Namun, kenapa perlu menunggu sebulan jika benar mempunyai jumlah, lakukan minggu hadapan kerana negara tidak boleh dalam keadaan keabsahannya dipertikai,” katanya dalam sidang langsung secara maya melalui Facebooknya, hari ini.
Semalam, Muhyiddin dalam perutusan khasnya mendakwa pihaknya masih mempunyai majoriti dan ketentuan bakal ditentukan di Parlimen.
Menurut Anwar, Muhyiddin juga tetap berdalih dan mengatakan bahawa beliau mempunyai jumlah walaupun diminta meletak jawatan.
“Disebabkan titah, baru mahu adakan undi (undi percaya), sebelum ini kita desak sekian lama. Namun, saya tidak faham kenapa (undi percaya) dilakukan bulan depan.
“Harapkan Speaker (Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun), speaker (juga) corong (kepada) kerajaan, jumpa secara peribadi baik tetapi tetap ada fatwa (kawalan) orang atas,” katanya. – UTUSAN ONLINE










