Undi percaya PM pada September tidak logik - Utusan Malaysia

Undi percaya PM pada September tidak logik

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Usul undi percaya kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang hanya dilakukan bulan depan di Parlimen tidak logik ketika beliau berdepan krisis untuk menentukan keabsahannya.

Semakin lama masa yang diambil untuk Kerajaan Perikatan Nasional (PN) merealisasikan hasrat tersebut, ia hanya mengundang pelbagai keraguan terutama isu ‘jual beli’ ahli Parlimen dan pembelotan parti.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik, Prof. Dr. Azmi Hassan berkata, keabsahan kerajaan perlu ditentukan segera supaya kemelut politik negara dapat dipulihkan sekali gus fokus kepada menguruskan pandemik Covid-19.

AZMI HASSAN

“Isu lompat parti dan jual beli sokongan ahli Parlimen ini yang membimbangkan. Sebab itulah kalau tunggu lama, banyak yang boleh berlaku kerana kita belajar daripada apa yang berlaku yang menyaksikan ramai wakil rakyat yang berubah pendirian.

“Kalau lihat dalam tempoh setahun dua ini, orang yang tidak disangka pun boleh menukar pendirian mereka. Maka, jual beli dan pertukaran sokongan ahli Parlimen mungkin dan boleh berlaku,” katanya ketika dihubungi semalam.

Dalam perutusan khas kelmarin, Muhyiddin terus kekal sebagai Perdana Menteri walaupun UMNO telah menarik sokongan kepada PN di samping tekanan daripada pembangkang supaya beliau berundur dari Kabinet. Malah, Muhyiddin menyatakan kesediaannya berdepan usul undi percaya dalam sidang Dewan Rakyat, September depan.

Sehari sebelum siaran itu, 11 ahli Parlimen UMNO termasuk Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah menarik sokongan daripada Muhyiddin dan mendakwa kerajaan sudah tumbang akibat kehilangan sokongan majoriti ahli Parlimen.

Pada 24 Februari lalu, 11 Ahli Parlimen PKR diketuai Ahli Parlimen Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengisytiharkan keluar parti bagi membentuk blok bebas di Dewan Rakyat dan seterusnya memilih bersama PN.

Azmin yang dilantik sebagai Ketua Penerangan PN dan menerajui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri turut dianggap sebagai Menteri Kanan ‘paling kanan’ dalam kerajaan.

Pada 28 Februari lalu, Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong dan Ahli Parlimen Julau, Larry Sng pula meninggalkan PKR untuk menyokong Muhyiddin.

Senada dengan Azmi, penganalisis politik Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Muis berkata, undi percaya perdana menteri pada September tidak berbangkit jika benar kerajaan mempunyai sokongan kukuh dalam kalangan ahli Parlimen.

MUJIBU MUIS

Jelasnya, walaupun sukar dibuktikan akan berlaku budaya lompat-melompat antara parti dalam tempoh sebulan dari sekarang, ia sudah mewujudkan spekulasi dan persepsi bahawa kerajaan akan menggunakan segala taktik untuk kekal berkuasa.

“Dalam sudut lain, saya berpandangan sekurang-kurangnya akhirnya memberi ruang untuk undi percaya di Parlimen dan di sinilah akan terjawab sama ada benar Muhyiddin mempunyai sokongan majoriti.

“Kena terima hakikat juga bahawa isu lompat parti tidak dilarang dalam Perlembagaan dan undang-undang negara dan menjadi kebiasaan berlaku di negara ini.

“Cuma, sudah tiba masanya Rang-Undang-Undang (RUU) pilihan raya dipinda dan Akta Anti Lompat Parti dipinda. Kita serahkan kepada kebijaksanaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan wakil rakyat untuk menggubal undang-undang,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN