MELAKA: Kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron yang menyifatkan dirinya sebagai kingmaker (penentu) seperti disiarkan sebuah portal baru-baru ini adalah tidak wajar.
Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad berkata, Idris sepatutnya akur sebagai ahli parti yang telah dipilih selaku wakil rakyat atas tiket Barisan Nasional (BN).
“Sebagai wakil rakyat yang dipilih oleh akar umbi, beliau sepatutnya harus memikul tanggungjawab dan amanah yang diberikan, sebagaimana yang dikehendaki oleh ahli-ahli UMNO yang lain.
“Beliau dipilih sebagai ADUN atas tiket UMNO dan menang dalam pilihan raya bukan kerana kebolehan dan kehebatannya, tetapi ini adalah kerja bersepadu yang dijalankan oleh ahli parti akar umbi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mohamad Ali berkata demikian untuk mengulas kenyataan bekas Ketua Menteri Melaka itu yang mengingatkan bahawa beliau boleh memainkan peranan sebagai kingmaker bersama ADUN Pantai Kundor, Datuk Azman Hassan berhubung kedudukan kerajaan negeri.
Bagaimanapun, laporan portal itu turut menyebut, Idris menafikan membincangkan rancangan menjatuhkan kerajaan negeri, tetapi mengingatkan beliau boleh memainkan peranan sebagai kingmaker.
Perjumpaan pada 11 Ogos itu dihadiri Idris, Azman dan dua ADUN Bersatu, Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen (Paya Rumput) serta Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas). – UTUSAN










