PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Ceupacs) memberi jaminan bahawa pertukaran kerajaan tidak menggugat penjawat awam untuk kekal menjalankan amanah seperti biasa.
Presidennya, Adnan Mat berkata, tidak kira kerajaan mana yang mentadbir, menjadi tanggungjawab penjawat awam untuk memberi keutamaan kepada rakyat dan negara terlebih dahulu daripada kepentingan lain.
Katanya, penjawat kerajaan kekal bebas dan tidak dipengaruhi sebarang ideologi politik dalam meneruskan khidmat menjaga kesejahteraan negara secara menyeluruh di bawah payung institusi diraja.
“Perkhidmatan awam adalah tonggak kepada pentadbiran kerajaan dan perlu bertindak secara profesional.
“Penjawat awam perlulah bijak mendepani cabaran dan memberi tumpuan kepada pengurusan risiko serta sentiasa di lapangan bagi memastikan perkhidmatan kepada rakyat tidak terjejas terutama dalam mendepani cabaran pandemik Covid-19.
“Walaupun kerajaan datang dan pergi bersilih ganti, perkhidmatan awam tetap kekal setia dalam neutraliti,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Terdahulu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan seluruh Kabinet hari ini menyembah maklum surat peletakan jawatan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Seri Paduka berkenan dengan keputusan itu dan melantik beliau sebagai ketua kerajaan sementara atau caretaker sehingga Perdana Menteri baharu dilantik.
Menurut Adnan, pihaknya menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Muhyiddin dan barisan Jemaah Menteri yang memberi khidmat terbaik sejak 1 Mac tahun lalu sehingga akhir tempoh pemerintahan Kerajaan Perikatan Nasional (PN).
“Jasa pengorbanan Muhyiddin dan barisan Jemaah Menteri amat Cuepacs dan warga penjawat awam hargai terutama dalam membela serta memberi khidmat kepada rakyat.
“Perhatian dan fokus Muhyiddin terhadap penjawat awam turut Cuepacs hargai. Komitmen ini diharapkan dapat diteruskan oleh kerajaan baharu yang akan dibentuk kelak,” katanya. – UTUSAN ONLINE