LANGKAWI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan tujuh termasuk seorang tekong sebuah bot nelayan tempatan kerana didapati menangkap ikan di kawasan larangan di sini hari ini.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd. Zawawi Abdullah berkata, bot nelayan tersebut ditahan di kedudukan tiga batu nautika tenggara Pulau Chorong dekat sini pada pukul 3.49 pagi.
Katanya, bot berkenaan dikesan melakukan kegiatan itu menerusi rondaan rutin Op Benteng dan Op Aman.
“Semasa dikesan, bot tersebut sedang melakukan aktiviti menangkap ikan di kawasan yang tidak dibenarkan menggunakan pukat tunda.
“Pemeriksaan mendapati tekong bersama tiga kru merupakan warga tempatan manakala tiga lagi kru adalah warga Thailand yang memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Tambahnya, kesemua kru berusia antara 23 hingga 44 tahun dan bot nelayan kelas C bersama hasil tangkapan ikan kira-kira setengah tan kemudiannya dibawa ke Jeti Maritim Bukit Malut untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985,” katanya.










