PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) dan Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua wajar menghentikan fitnah kleptokrat yang menjadi modal menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Pengarah Komunikasi UMNO Sabah, Ghazalie Ansing berkata, sebaliknya pemimpin yang digelar kleptokrat oleh PH telah banyak membantu rakyat dalam kesusahan.
Katanya, peralihan tampuk pemerintahan negara kepada PH sebenarnya satu kesilapan besar yang membawa kepada kejatuhan reputasi negara dan kesengsaraan hidup rakyat.
“Semasa pemerintahan PH yang dikuasai DAP, kerajaan dipimpin individu-individu yang tidak kompeten, pelaksanaan dasar ‘U Turn’ dan polisi yang menyebabkan rakyat daripada golongan marhaen hilang pekerjaan.
“Tony Pua perlu diingatkan bagaimana Kerajaan PH menarik pelbagai subsidi yang telah diberikan kepada rakyat seperti nelayan dan petani. Malah ratusan ribu rakyat seperti pengawal keselamatan serta bahagian pembersihan ditamatkan kontrak.
“Hutang negara telah meningkat dengan begitu tinggi sepanjang pemerintahan PH manakala wang Petronas digunakan sewenang-wenangnya tanpa kawalan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tony Pua menerusi kenyataan di Facebooknya sebelum ini berkata, kemungkinan kejatuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN) seolah-olah memberi peluang pemimpin UMNO yang disifatkannya kleptokrat untuk berkuasa semula. – UTUSAN ONLINE










