TMJ terima menghadap guru tolak vaksin, Pengarah Pendidikan Jumaat ini - Utusan Malaysia

TMJ terima menghadap guru tolak vaksin, Pengarah Pendidikan Jumaat ini

TUNKU Ismail Sultan Ibrahim akan menerima mengadap guru yang menolak vaksin bersama-sama Pengarah Pendidikan Johor di Bukit Timbalan di Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim akan menerima menghadap guru yang menolak vaksin serta Pengarah Pendidikan negeri, pada Jumaat ini.

Tunku Ismail bertitah, pertemuan itu akan diadakan di Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan bersama-sama dengan Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani.

“Saya akan berjumpa dengan Pengarah Pendidikan Johor dan guru di Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan bersama-sama dengan Mufti Johor dan Setiausaha Kerajaan Johor pada Jumaat ini.

“Demi kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara. Insya-Allah,” titah baginda dalam Facebook rasmi Tunku Mahkota Johor hari ini.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya negeri, Mazlan Bujang mendedahkan kira-kira 779 guru di negeri ini yang dilaporkan menolak untuk menerima vaksin Covid-19.

Beliau berkata, Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) akan membantu dalam perkara itu agar golongan guru terlibat yakin menerima vaksin kelak.

“Kerajaan negeri akan memanggil 779 guru yang menolak vaksin itu secara individu bagi diberi penerangan dan kaunseling supaya mereka faham kepentingannya, apatah lagi sesi persekolahan dijangka dibuka Oktober ini,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Nor Hayati Bachok (Amanah-Maharani) berkenaan kadar vaksinasi guru di negeri ini pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-14 di Kota Iskandar dekat sini semalam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN