JOHOR BAHRU: Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim akan mengadakan pertemuan dengan Pengarah Pendidikan Johor bagi menyelesaikan isu berhubung 779 guru di negeri ini yang menolak untuk menerima suntikan vaksin Covid-19.
Tunku Ismail bertitah, pertemuan dengan guru-guru terlibat itu juga akan diadakan dalam masa terdekat bagi menyelesaikan permasalahan yang timbul.
“Keutamaan kami adalah untuk mengatasi pandemik ini secepat mungkin supaya rakyat, negeri boleh kembali dan meneruskan kehidupan seperti biasa.
“Insya-Allah kita boleh selesaikan masalah ini dengan cara berhemah,” titah baginda dalam Twitter @hrhcrownprinceofjohor hari ini.
Tunku Ismail bertitah demikian sebagai respons terhadap 779 guru di Johor menolak untuk menerima vaksin Covid-19.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya negeri, Mazlan Bujang mendedahkan seramai 779 guru di negeri ini dilaporkan menolak untuk menerima vaksin berkenaan.
Beliau dilaporkan berkata, Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) akan membantu meyakinkan guru-guru terlibat untuk menerima suntikan vaksin mereka.
“Kerajaan negeri akan memanggil 779 guru yang menolak vaksin itu secara individu bagi diberi penerangan dan kaunseling supaya mereka faham kepentingannya, apatah lagi sesi persekolahan dijangka dibuka Oktober ini,” katanya ketika menjawab soalan Nor Hayati Bachok (Amanah-Maharani) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pagi ini.










