ALOR SETAR: Memperkasa Kerjasama Awam-Swasta (Pikas) adalah antara cadangan dikemukakan Majlis Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah bagi mempertingkat kadar vaksinasi di negeri ini.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Johari Abdul berkata, cadangan berkenaan bagi memastikan semua pekerja industri divaksinasi dengan segera.
Katanya, langkah tersebut perlu dilakukan kerana kadar jangkitan di sektor itu menyumbang kepada peningkatan ketara kes baharu di negeri ini.
Pada masa sama, katanya, kapasiti vaksinasi di klinik kesihatan dan hospital kerajaan, hospital dan klinik swasta dan di semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) perlu dipertingkat serta memastikan bekalan vaksin di Kedah sentiasa mencukupi.
“Selain itu juga kami mencadangkan supaya vaksinasi secara ‘walk in’ dan pasukan vaksinasi bergerak diperluas untuk menangani warga tua dan warga golongan kurang upaya terutama di luar bandar.
“Menyedari hakikat bahawa kawasan yang dikenakan PKPD (Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan) perlu diberi perhatian, saringan kes hendaklah diperluas di kawasan tersebut serta memastikan vaksinasi mencapai imuniti kelompok di semua kawasan PKPD,” katanya dalam satu kenyataan di sin,i hari ini.
Semalam, Sultan Kedah menzahirkan dukacita terhadap peningkatan kes Covid-19 di negeri ini yang kekal empat angka setiap hari sejak sebulan lalu. – UTUSAN ONLINE










