Tindakan Ismail Sabri beri sinar baru, jaminan masa depan rakyat

Tindakan Ismail Sabri beri sinar baru, bayangan jaminan masa depan rakyat

MOHD. SHARKAR SHAMSUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Pendekatan politik rentas parti dilaksanakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi sinar baharu serta jaminan masa depan rakyat yang lebih baik di bawah kepemimpinannya. 

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, langkah itu pendekatan politik positif yang matang berpaksikan keutamaan dan kepentingan kepada rakyat serta negara.

“Kalau kita lihat rakyat pada ketika ini semakin tertekan ekoran pandemik Covid-19 dan politik yang tidak tentu arah dan jatuh menjatuhkan antara satu sama lain. 

“Sekarang kita memerlukan politik positif yang matang dan kita harap kerjasama seperti ini (politik rentas parti) diteruskan kerana tumpuan pada ketika ini menyelesaikan masalah rakyat, Covid-19 dan vaksinasi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Semalam Perdana Menteri memaklumkan kerajaan berjaya mencapai persetujuan bersama barisan pemimpin pembangkang bagi memperkasa fungsi Parlimen Malaysia sebagai institusi yang bertanggungjawab dan konstruktif.

Ia dirintis menerusi satu pertemuan antara Ketua Pembangkang dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng di Pejabat Perdana Menteri semalam.

Mohd. Sharkar berkata, beliau yakin Perdana Menteri tentunya apabila dilantik ke jawatan nombor satu tersebut mempunyai perancangan jangka pendek dan panjang demi rakyat dan juga negara. 

Menurutnya, untuk perancangan jangka pendek, beliau percaya Perdana Menteri akan memberikan tumpuan kepada isu Covid-19, politik rentas parti dan penyelesaian masalah ekonomi yang berlaku. 

“Apa yang penting ketika ini, kita mencapai imuniti kelompok dan apabila ia dicapai, ekonomi negara boleh kembali dibuka seperti negara England. 

“Jangka panjang tentunya berkaitan misi dan visi Perdana Menteri yang menjadi harapan rakyat demi masa depan lebih baik, ia juga membabitkan jaminan ekonomi dan politik,” katanya. 

Beliau berkata, pendekatan dilaksanakan oleh Perdana Menteri termasuk memperkenalkan istilah ‘Keluarga Malaysia’ adalah permulaan terbaik sebagai jaminan masa depan rakyat dan negara. 

“Berikan peluang kepada Ismail Sabri menerajui kepimpinan kerana beliau mewakili Perdana Menteri generasi ketiga dalam UMNO, pastinya beliau mempunyai perancangan terbaik untuk rakyat dan negara sebagai ketua kerajaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN