PASIR MAS: Tiga sekeluarga nyaris rentung apabila rumah sewa yang dihuni mereka sejak 14 tahun lalu di Kampung Jias, di sini terbakar pagi tadi.
Dalam kejadian pukul 9.30 pagi itu, tiga sekeluarga berkenaan berjaya keluar dengan selamat selepas dikejutkan dengan bunyi letupan kecil.
Mangsa, Nor Aliya Maisarah Abdul Talib, 18, berkata, semasa kejadian dia berada di dalam bilik bersama anak saudaranya berusia dua tahun yang sedang tidur ketika itu.
Menurutnya, secara tiba-tiba dia dikejutkan dengan bunyi letupan kecil dan terus keluar dari bilik untuk melakukan pemeriksaan.
“Semasa mahu membuat pemeriksaan itu, saya dapati rumah sudah terbakar. Terkejut dengan kejadian tersebut, saya terus mengejutkan abang, Mohd. Asyraf Abdul Talib, 21, yang tidur di biliknya.
“Selepas itu kami terus keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri. Kami tidak sempat berbuat apa-apa kerana api marak dengan cepat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Nor Aliya Maisarah memberitahu, susulan kejadian itu dia dan seluruh ahli keluarga termasuk ibu tinggal sehelai sepinggang.
Katanya, semasa kejadian ibunya, Napisah Mat Zin, 53, tiada di rumah kerana keluar membeli lauk untuk makan tengah hari.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, Penolong Penguasa Bomba Shapawi Stapa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.32 pagi dan seramai 15 anggota dari Balai Pasir Mas dan Tunjong bergegas ke lokasi kejadian.
Katanya, setiba di lokasi, bomba mendapati terdapat dua buah rumah yang telah terbakar.
“Salah satu daripada rumah itu terbakar 100 peratus manakala sebuah lagi 80 peratus. Anggaran kerugian dan punca sebenar kebakaran masih lagi dalam siasatan,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu keluarga itu boleh menyalurkan bantuan ke akaun Bank Rakyat 2208-8350-1517 atas nama Napisah Mat Zin.










