Tiga pesakit Covid-19 lari PKRC - Utusan Malaysia

Tiga pesakit Covid-19 lari PKRC

OSMAN MAMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPING: Polis berjaya menahan dua daripada tiga pesakit Covid-19 yang melarikan diri dari Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Kompleks Rakan Muda Taiping semalam.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, pihaknya menerima laporan tentang kejadian itu pada pukul 11.59 malam semalam.

“Kejadian berlaku semasa proses pendaftaran sedang dijalankan kira-kira pukul 7.15 malam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Osman, ketiga-tiga pesakit Covid-19 itu yang berusia lingkungan 20 hingga 35 tahun sepatutnya menjalani kuarantin di PKRC selama 10 hari.

Beliau berkata, berikutan itu pihak polis telah menjalankan pencarian di sekitar Taiping.

Katanya, terdahulu sebelum laporan dibuat, polis telah menerima maklumat pada pukul 11 malam semalam mengenai dua daripada pesakit yang melarikan diri itu bersembunyi di dalam sebuah stor di rumah di kawasan Kamunting.

“Bertindak atas maklumat tersebut, enam anggota dari Balai Polis Kamunting dibantu anggota kereta peronda polis (MPV) IPD Taiping telah ke tempat tersebut dan menemukan dua orang pesakit tersebut.

“Setelah mengesahkan kedua-dua identiti pesakit, polis meminta pihak Kementerian Kesihatan mengambil mereka untuk dibawa menjalani kuarantin di PKRC Kompleks Rakan Muda Kamunting,” katanya.

Menurutnya, polis kini sedang mengesan seorang lagi pesakit yang melarikan diri.

Sementara itu, Osman menafikan pesakit yang melarikan diri itu berkeliaran di kawasan pasar, bank dan juga di tempat tumpuan awam seperti mana yang tular dalam media sosial.

“Apa yang ditularkan tidak benar dan orang ramai dinasihatkan tidak menyebarkan berita tidak benar sehingga boleh mengganggu ketenteraman awam,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN