YAN: Seramai tiga mangsa terkorban dan tiga lagi masih hilang dalam kejadian kepala air dan tanah runtuh di Gunung Jerai dan beberapa kampung di sini pada petang semalam.
Ketiga-tiga mangsa yang mati itu ditemukan di tiga lokasi berasingan.
Dua daripada mangsa maut itu dihanyutkan kepala air ditemukan di Kampung Setol dan pusat peranginan Titi Hayun di sini.
Seorang lagi meninggal dunia dalam kejadian tanah runtuh di laluan menghala puncak Gunung Jerai.
Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor memberitahu, mayat mangsa di Titi Hayun telah diturunkan lewat malam tadi.
“Seorang mangsa yang cedera juga berjaya dibawa turun manakala tiga lagi yang masih hilang sedang dikesan pasukan penyelamat,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, katanya, mangsa yang meninggal dunia dalam kejadian tanah runtuh di laluan ke Gunung Jerai dikenal pasti sebagai Shahruzi Mohamad, 53.
Sehingga awal pagi ini, seramail 119 orang penduduk kampung yang terjejas dipindahkan di pusat pemindahan sementara (PPS).
Mangsa dipindahkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Yan dan Sekolah Kebangsaan Teroi.










