Tiga lelaki Pakistan sindiket palsu dokumen imigresen ditahan - Utusan Malaysia

Tiga lelaki Pakistan sindiket palsu dokumen imigresen ditahan

JABATAN Imigresen mematahkan sindiket pemalsuan dokumen perjalanan dalam dua serbuan di Setapak, Kuala Lumpur dan Seri Kembangan, Selangor. - FOTO IMIGRESEN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tiga lelaki warga Pakistan yang menjadi dalang sindiket pemalsuan dokumen perjalanan ditahan dalam dua serbuan di Setapak, Kuala Lumpur dan Seri Kembangan, Selangor, baru-baru ini.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, tiga suspek berusia antara 32 hingga 56 tahun ditahan selepas risikan selama tiga bulan.

Katanya, dua suspek adalah pemegang Pas Lawatan Sosial (PLS) yang tamat tempoh dan seorang lagi suspek memiliki PLS Jangka Panjang yang disyaki palsu.

“Dalam operasi pada 17 Ogos lalu, dua orang suspek ditahan ketika sedang melaksanakan transaksi penyerahan dokumen palsu di dalam sebuah kereta di Setapak sebelum pasukan Imigresen dibawa ke sebuah perumahan mewah di Taman Mesra, Seri Kembangan, Selangor.

“Serbuan dilakukan berjaya menahan seorang lelaki yang disyaki ‘Maker’ (Pembuat Dokumen Palsu) yang membolehkan maklumat lanjut diperoleh dengan mendapati sindiket berkemahiran menghasilkan pelbagai dokumen palsu negara asing seperti pasport, visa dan lesen memandu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Khairul Dzaimee berkata, dokumen yang dihasilkan sindiket itu digunakan sebagai satu kelebihan dalam sejarah perjalanan pemegang pasport semasa memohon visa untuk perjalanan ke negara ketiga.

Katanya, sindiket tersebut memberi fokus kepada negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, Kanada dan Jepun kerana visa negara-negara itu mempunyai nilai yang tinggi dan boleh meyakinkan negara ketiga yang ingin dilawati bahawa pemegang pasport adalah ‘frequent traveller’.

“Sindiket turut dipercayai menjalankan kegiatan memalsukan pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) sejak dua tahun lalu menggunakan aplikasi WhatsApp serta In My Opinion (IMO) sebagai medium untuk mencari pelanggan dan akan berjumpa dengan pelanggan bagi tujuan transaksi.

“Kebanyakan pelanggan pemalsuan PLKS terdiri daripada pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Pakistan, Myanmar dan Bangladesh yang disyaki bekerja sebagai buruh binaan dan pekerja kedai. Kadar bayaran yang dikenakan sebanyak RM100 hingga RM300 bagi sekeping pelekat PLKS palsu manakala bayaran dokumen-dokumen negara asing seperti visa, lesen memandu, kad pelarian dan pasport adalah RM100 hingga RM1,000,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga merampas 2,320 keping dokumen yang disyaki palsu, dua set komputer, dua buah mesin pencetak, satu mesin laminate, satu pembaca pasport, lima keping Stamping Plate pelbagai negara, 20 unit Silk Screen Frame pelbagai negara dan satu unit Silk Screen Printing Table serta dua buah kereta jenis Honda Civic dan Proton Waja.

Katanya, pihak kedutaan negara-negara turut mengesahkan bahawa dokumen-dokumen yang dirampas adalah palsu.

“Malah, salah seorang suspek utama juga pernah diusir dari Kanada pada 2008 atas kesalahan imigresen.

“Tiga suspek ditahan mengikut Seksyen 55(D) Akta Imigresen 1959/63 iaitu membuat, memalsukan atau meminda suatu pengendorsan atau suatu dokumen untuk digunakan sebagai suatu visa, permit, pas atau kelayakan di bawah akta dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum denda tidak kurang RM30,000 dan penjara antara lima hingga 10 tahun serta dihukum sebat sehingga enam sebatan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya