KOTA TINGGI: Nelayan yang terlibat dalam insiden bot karam di perairan Tanjung Sedili, di sini pada Ahad lalu tidak menjadikan kejadian itu sebagai pematah semangat untuk kembali turun ke laut.
Abdul Halim Ghani, 50, berkata, tidak mungkin ia akan menghentikan aktiviti tersebut memandangkan itu sahaja satu-satunya cara dia mencari nafkah buat keluarga yang telah bermula sejak 35 tahun lalu.
Katanya, insiden itu merupakan pertama kali dialami dan menganggap ia sebagai satu yang dahsyat kerana berdepan dengan ombak setinggi lebih lima meter.
“Kami dilanda satu hingga tiga gelombang ombak yang setinggi rumah yang datang secara mengejut bersama angin sehingga pada awalnya menyebabkan bot senget.
“Masa itu saya sempat bertakbir dan bila lihat bot sudah dipenuhi air dan hendak karam saya menyuruh rakan, Mohd. Norizan Jusoh, 38, kemas barang masuk dalam beg dan ambil jaket keselamatan untuk selamatkan diri.
“Setelah bot tenggelam ke dalam laut saya hanya mampu menangis, bot berkenaan dianggarkan bernilai RM250,000,” katanya ketika ditemui pada Program Ziarah Sedili Peduli oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili, Rasman Ithnain.
Kata Abdul Halim, dia sempat memaklumkan kejadian itu kepada keluarga, pihak polis dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menggunakan telefon bimbit dan berkongsi kedudukan lokasi untuk diselamatkan.
Jelasnya, keadaan menjadi lebih sukar apabila telefon bimbitnya mula dimasuki air menyebabkan mereka terputus hubungan dan berusaha berenang ke arah darat.
“Saya bersyukur kerana ketika itu air di laut suam-suam tidak sejuk. Ia sangat membantu saya bertahan sepanjang tempoh sebelum diselamatkan. Kami sempat juga mengalas perut dengan makan biskut yang sempat Norizan masukkan ke dalam begnya.
“Masa itu saya hanya fikir hidup atau mati sahaja. Selain fikirkan keluarga anak-anak di rumah. Mujur Tuhan masih panjangkan usia kami,” katanya.
Tambahnya, dia kini sedang berusaha untuk mengeluarkan bot berkenaan yang karam namun memerlukan kos lebih RM10,000 bagi tujuan tersebut.
Sementara itu, Rasman berkata, pihaknya sedia membantu Abdul Halim dalam usaha untuk mengeluarkan botnya yang karam itu dengan memikirkan alternatif yang dapat meringankan beban nelayan berkenaan.
“Kita cuba dapatkan bantuan dengan mencari juruselam untuk melihat keadaan bot milik Abdul Halim sama ada masih boleh digunakan lagi atau tidak.
“Seandainya boleh digunakan, saya sebagai wakil rakyat DUN Sedili akan mencari alternatif, cara dan bagaimana untuk menaikan bot itu. Setakat ini kita ada beri bantuan sikit kepadanya bagi meringankan beban kerana dengan bot itu dia menyara hidup mencari wang untuk anak yang masih belajar,” katanya.










