Tiada pergerakan keluar dikesan di Taman Sri Bayu - Polis

Tiada pergerakan keluar di Taman Sri Bayu – Polis

AB. RASHID MAT DAUD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Polis menegaskan tiada pergerakan keluar dikesan berlaku di Taman Sri Bayu, di sini sebaik sahaja kawasan itu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) bermula Rabu lalu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah, Superintenden Ab. Rashid Mat Daud berkata, pihaknya memperketat kawalan bersama anggota Jabatan Sukarelawan Rakyat (Rela) bagi mengelak pergerakan keluar atau masuk di kawasan itu.

“Hasil tinjauan yang saya lakukan di kawasan itu mendapati banyak rumah kosong dan tidak berpenghuni. Malah kebanyakan kawasan rumah-rumah yang tidak berpenghuni itu sudah ditumbuhi semak-samun,” katanya.

Semalam, akhbar ini melaporkan hampir 50 keluarga dipercayai ‘hilang’ dari kediaman mereka di Taman Sri Bayu selepas kawasan itu dikenakan PKPD bermula Rabu.

Bancian awal merekodkan 450 keluarga atau lebih 2,000 penduduk di situ, namun bancian terkini pada Rabu bagi tujuan agihan bakul makanan mendapati hanya 401 keluarga masih berada di kediaman, sekali gus menimbulkan tanda tanya.

Mengulas lanjut, Ab. Rashid memberitahu, dia tidak mengetahui bagaimana bancian data penduduk itu dilakukan oleh pihak berkenaan dan polis akan cuba mendapatkan jumlah tepat penduduk di PKPD Taman Sri Bayu.

“Pergerakan dalam daerah hanya boleh berlaku sebelum lokaliti itu dikenakan PKPD. Selepas PKPD berkuat kuasa, polis sama sekali tidak akan membenarkan sebarang pergerakan keluar masuk di kawasan terbabit,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN