ISKANDAR PUTERI: Johor tidak merekodkan sebarang kewujudan kluster Covid-19 baharu berkaitan pelaksanaan ibadah korban sempena sambutan perayaan Aidiladha yang lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Tosrin Jarvanthi berkata, sejumlah 164 pusat sembelihan dibenarkan beroperasi di negeri ini sempena Aidiladha yang disambut pada 20 Julai lalu.
Menurut beliau, pelaksanaan ibadah korban itu dijalankan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bersesuaian dengan tempoh pandemik Covid-19.
“Walaupun dalam keadaan sukar akibat pandemik Covid-19, ibadah korban tetap dapat dilaksanakan dengan sejumlah 6,037 ekor lembu telah disembelih.
“Pelaksanaan ibadah korban tahun ini meliputi proses sembelihan, melapah, memotong daging dan membungkus sebelum ia diedarkan terus kepada mereka yang telah ditetapkan,” katanya pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-14, di Kota Iskandar hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Najib Lep (Pas-Bukit Pasir) berhubung SOP ketat ditetapkan bagi pelaksanaan ibadah korban ketika Aidiladha dan kesan penguatkuasaan SOP itu.
Sementara itu, Tosrin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai berkata, pihaknya juga telah melawat beberapa pusat sembelihan di seluruh negeri bagi memastikan pelaksanaan dibuat mengikut SOP ditetapkan.
“Pelaksanaan ibadah korban tahun ini dibuat dalam keadaan terkawal kerana keutamaan kita bukan sekadar keuntungan semata-mata tetapi ia meliputi nyawa manusia yang tidak boleh dipertaruhkan.
“Adalah disyorkan supaya penternak dalam tempoh wabak ini tidak hanya menumpu jualan semasa ibadah korban sahaja, tetapi perlu kreatif melihat kepada pasaran tempatan yang keperluannya masih tinggi, bahkan terpaksa ditampung oleh daging import,” tambahnya.










