IPOH: Tiada sebarang caj pengurusan jenazah pesakit Covid-19 dikenakan oleh hospital kerajaan di Perak seperti yang dilaporkan di beberapa negeri lain.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Mohd. Akmal Kamarudin berkata, pengurusan jenazah bagi umat Islam dilakukan oleh Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).
Menurutnya, bagi yang bukan beragama Islam pula diuruskan oleh pihak konsortium selepas jenazah dibawa keluar dari hospital.
“Selepas keluar daripada hospital, kita tidak tahu sama ada waris mengambil van daripada mana-mana syarikat.
“Namun untuk di Perak, hospital memang tidak mengenakan sebarang bayaran untuk menguruskan jenazah pesakit Covid-19,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Menurut Mohd. Akmal, waris mangsa yang meninggal dunia akibat Covid-19 boleh menggunakan bantuan khas sebanyak RM5,000 dari kerajaan yang diberikan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
Sementara itu, Pengarah JAIPk, Datuk Mohd. Yusop Husin berkata, pihaknya tidak mengenakan sebarang bayaran terhadap waris bagi pengurusan jenazah pesakit Covid-19.
Menurutnya, JAIPk tidak ada mengenakan apa-apa caj dan segala caj jika ada diuruskan oleh jawatankuasa pengurusan tanah perkuburan.
“Saranan saya biarlah berpatutan sekiranya ada caj dan tidak membebankan, permudahkanlah proses pengkebumian termasuklah lokasi yang melibatkan pemastautin jenazah,” katanya.
Sebelum ini terdapat laporan bayaran pengurusan jenazah sebahagian pesakit Covid-19 di beberapa negeri yang disifatkan melampau antara RM700 hingga RM1,800.
Bayaran berkenaan disifatkan melampau malah tidak masuk akal dan boleh dianggap menangguk di air keruh lebih-lebih dalam suasana pandemik sekarang. – UTUSAN ONLINE