PORT DICKSON: Seorang remaja perempuan lepasan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) kerugian kira-kira RM5,350 setelah terpedaya dengan tawaran kerja sambilan membungkus batu jed.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, pada 13 Ogos lalu, pihaknya menerima laporan polis berkenaan penipuan tawaran pekerjaan sambilan di Facebook daripada mangsa yang berusia 18 tahun dan masih belum bekerja.
Jelasnya, mangsa pada mulanya telah melihat iklan pekerjaan di Facebook dan kemudiannya berurusan melalui aplikasi WhatsApp untuk kerja sambilan membungkus batu jed.
“Mangsa dimaklumkan dengan pembayaran pendaftaran sebanyak RM350, dia akan dibekalkan dengan tujuh beg (setiap beg mengandungi 5,000 biji) batu jed yang perlu dibungkus dalam masa 45 hari dan dijanjikan bayaran sebanyak RM5,000.
“Selepas pembayaran tersebut, mangsa masih gagal menerima barang untuk dibungkus itu dan masih diminta untuk masukkan lagi wang yang dikatakan untuk tujuan fi ejen.
“Mangsa telah membuat bayaran untuk tujuan ini sebanyak lima kali transaksi bermula 14 Julai sehingga 13 Ogos lalu ke dalam dua buah akaun tempatan berbeza dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM5,350 menggunakan wang daripada ibunya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Aidi Sham, selepas kesemua pembayaran dibuat, mangsa bagaimanapun masih gagal mendapat barang kerja yang dijanjikan dan masih diminta untuk masukkan wang.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda jika sabit kesalahan.
“Pihak polis menegaskan supaya orang ramai tidak mudah terpengaruh dengan tawaran pekerjaan dengan gaji tinggi daripada laman sosial,” katanya.