KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri akan membuka dua lagi Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) baharu jika situasi bertambah buruk dan parah.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, pembukaan PKRC di Stadium Negeri di sini dan Pusat Kokurikulum Jabatan Pendidikan negeri (Hulu Terengganu) itu mampu menampung seramai 750 pesakit.
Katanya, ketika ini sebanyak lima PKRC beroperasi di seluruh negeri dengan kapasiti sebanyak 2,747 katil.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 1,128 katil ditempatkan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Chendering diikuti Kolej Kemahiran Tinggi MARA Kemaman (750 katil), Universiti Malaysia Terengganu (484 katil), Kem Wawasan Besut (200 katil) dan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia di Kuala Terengganu (185 katil).
“Terbaharu, PKRC Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Mizan di Besut akan beroperasi semula esok dengan kapasiti 392 katil sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 3,139 katil,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Semalam, Terengganu merekodkan sebanyak 883 kes jangkitan baharu harian Covid-19 sekali gus menjadi yang paling tinggi sejak pandemik itu melanda.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, peningkatan luar biasa itu adalah disebabkan oleh aktiviti saringan kontak rapat dan bersasar yang dilakukan di beberapa lokaliti di seluruh Terengganu di samping penganjuran majlis keraian secara sembunyi semasa Hari Raya Aidiladha lalu.
Bagaimanapun jumlah itu menurun kepada 429 kes pada hari ini.










