HULU TERENGGAN: Destinasi pelancongan Tasik Kenyir akan dibuka kepada pengunjung bermula 1 September ini selepas hampir lima bulan ditutup akibat Covid-19.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Datuk Razali Idris berkata, kesemua penggiat pelancongan di tasik buatan manusia terbesar di rantau Asia itu sudah melengkapkan dua dos vaksinasi.
Sehubungan itu, katanya, perbincangan akan diadakan dengan pihak pemain bagi menetapkan harga berpatutan sebagai langkah promosi kepada pengunjung.
“Kita juga akan melihat semula kesesuaian aktiviti yang disusun sempena Tahun Melawat Kenyir (TMK) 2021 dan bagi program yang tidak membabitkan kumpulan besar berkemungkinan akan diteruskan.
“Semua pemain industri dan pelancong ke Tasik Kenyir diharapkan dapat mematuhi prosedur operasi standard(SOP) ditetapkan,” katanya selepas Program Outreach Vaksinasi di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Razali berkata, pihaknya akan mencari kaedah baharu untuk membantu penggiat pelancongan termasuk dengan menyediakan geran-geran tertentu kepada golongan sasar. – UTUSAN ONLINE