Talian MPSepang Sejahtera dibuka esok bantu golongan terjejas 

Talian MPSepang Sejahtera dibuka esok bantu golongan terjejas 

ABD. HAMID HUSSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Penduduk di daerah ini yang terjejas pendapatan akibat pandemik Covid-19 boleh mendapatkan bantuan dengan menyalurkan maklumat di Talian MPSepang Sejahtera yang dibuka esok.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang), Datuk Abd. Hamid Hussain berkata, sebanyak RM100,000 diperuntukkan untuk usaha itu yang bakal memanfaatkan seramai 900 hingga 1,000 isi rumah dengan penyaluran bantuan dibuat dalam tempoh 48 jam.

“Ia sebagai salah satu medium berbentuk talian panggilan diwujudkan dalam usaha pihak berkuasa tempatan (PBT) menyalurkan bantuan kepada golongan memerlukan.

“Saya amat yakin bahawa golongan tersebut amat memerlukan bantuan dan perhatian dari segi sumber kewangan atau pelbagai bentuk bantuan lain bagi menampung kelangsungan sara hidup sekali gus memastikan kesejahteraan dan kebajikan mereka terjaga,” katanya di sini hari ini.

Menurut Abd. Hamid, fungsi talian sedia ada di MPSepang melibatkan talian aduan dan perkhidmatan majlis akan diperluaskan skopnya bagi mengenal pasti permasalahan masyarakat yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

Katanya, dengan adanya talian itu, ia membolehkan pemusatan maklumat bagi bantuan makanan, keperluan asas, kesihatan dan kewangan disalurkan kepada agensi-agensi berkaitan.

“Talian ini tidak akan mengurangkan fungsi saluran bantuan sedia ada dan fungsi JPP zon sebagai medium untuk penduduk daerah Sepang dalam memohon bantuan.

“Ia akan beroperasi pada hari bekerja sahaja dari pukul 8 pagi sehingga 5 petang,” katanya.

Sementara itu, Abd. Hamid berkata, beliau percaya dengan adanya sistem pengurusan yang lebih teratur dan sistematik dapat memastikan kebajikan penduduk di daerah ini terjaga, sekali gus dapat mempamerkan imej MPSepang yang baik serta prihatin kepada masyarakat.

Sebarang pemberitahuan mengenai permohonan dan penyaluran bantuan adalah melalui nombor talian Hotline MPSepang 03-83190200 atau 03-83190300, WhatsApp (019-2826533) dan khidmat pesanan ringkas (15888). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN