SEREMBAN: Syarikat konsesi penyedia perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam, SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) menyasarkan 85 peratus kakitangannya lengkap menerima vaksin Covid-19 menjelang hujung bulan depan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ho De Leong berkata, sehingga kini antara 40 hingga 60 peratus kakitangan mereka khususnya pekerja barisan hadapan (frontliner) di tiga buah negeri iaitu Negeri Sembilan, Melaka dan Johor telah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin.
“Pemberian vaksin kepada petugas di sektor pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam amat penting kerana mereka tergolong sebagai barisan hadapan yang terus berkhidmat tanpa henti mengikut jadual seperti biasa sejak mula penularan wabak Covid-19.
“Keselamatan pekerja khususnya ketika bertugas di lapangan sentiasa menjadi keutamaan SWM Environment dan kami telah mengambil pelbagai inisiatif pencegahan bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini. – UTUSAN ONLINE